TERKINI :

Wednesday, December 31, 2014

Golf di Hawaii: Tak salah, hanya tak kena masa, kata penganalisis

‘Golf diplomacy’ antara pemimpin dunia bukan perkara baru sebagaimana  Datuk Seri Najib Razak bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii tetapi ia menimbulkan rasa kurang senang rakyat kerana negara ketika itu berhadapan bencana banjir luar biasa. – Gambar fail Reuters, 30 Disember, 2014.
‘Golf diplomacy’ antara pemimpin dunia bukan perkara baru sebagaimana Datuk Seri Najib Razak bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii tetapi ia menimbulkan rasa kurang senang rakyat kerana negara ketika itu berhadapan bencana banjir luar biasa. – Gambar fail Reuters, 30 Disember, 2014.

Minggu lalu, kritikan terhadap Datuk Seri Najib Razak berterusan di laman media sosial apabila akhbar The Washington Post memuat naik artikel berserta gambar beliau bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii sehari sebelum Krismas.

Sedangkan pada masa sama, situasi banjir di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia semakin buruk dengan hampir 100,000 ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir ketika itu.

Susulan artikel "In Hawaii, Obama golfs with Malaysian Prime Minister Najib Razak" (Di Hawaii, Obama bermain golf bersama Perdana Menteri Malaysia Najib Razak) bersama gambar perdana menteri bermain golf dikeluarkan akhbar berkenaan, pengguna laman media sosial mula mengkritik Najib dan mendakwa beliau tidak mengendahkan rakyat yang terpaksa berhadapan banjir besar terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Najib kemudiannya pulang pada hari Isnin dan menjelaskan aktiviti golf bersama Obama itu demi hubungan diplomasi negara dan ia tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara ini.

"Main golf ini bukanlah satu perkara aneh atau luar biasa... sebab zaman (bekas perdana menteri) Tun Abdul Razak Hussein, (bekas timbalan perdana menteri) Tun Dr Ismail, bermain golf dengan pemimpin dunia merupakan perkara yang boleh dikatakan sebagai 'golf diplomacy'," katanya kepada media sewaktu melawat mangsa banjir di Kelantan.

Penganalisis politik tanah air juga berpendapat, amalan "golf diplomacy" antara pemimpin dunia bukan perkara baru.

Malah, mereka membangkitkan yang perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman juga sering bermain golf bersama bekas Presiden Singapura Lee Kuan Yew, suatu ketika dahulu sebagai kaedah perbincangan mereka.

Cuma, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan (gambar), nasib ketika itu tidak menyebelahi perdana menteri.

"Apabila beliau di sana (Hawaii), jadi situasi begini (banjir) di Malaysia.

"Jadi, pejabat perdana menteri perlu fikir strategi berkomunikasi dengan rakyat. Sewaktu orang di sini bersusah payah menghadapi banjir, gambar perdana menteri bermain golf di Hawaii tersebar.

"Tetapi tidak adil untuk kita menyalahkan perdana menteri.. kerana perancangan itu mungkin sudah lama dibuat, dan tidak dijangka situasi banjir sebegini teruk," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata Wan Saiful, isunya ialah gambar tersebut tidak kena pada konteks Malaysia.

"Tetapi, kalau (Najib) balik sekali pun, realitinya apa yang beliau boleh lakukan?" soalnya.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang terjadi itu berkemungkinan mencetuskan bencana kepada 'perhubungan awam' Najib, yang mana mampu menjadi "bencana politik" kepada ahli Parlimen Pekan itu.

"Golf itu tidak menjadi masalah," katanya.

Penganalisis daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid berkata banjir dan golf adalah dua insiden berbeza yang berlaku di kawasan berbeza.

Namun isunya ialah berhubung persepsi masyarakat terhadap Najib.

"Ia memberi persepsi seolah-olah beliau tidak mengambil berat hal rakyat. Sedangkan jadual itu disusun lebih lama.

"Hanya masalah persepsi. Namun, persepsi sangat penting," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, situasi itu bagaimanapun ditangani dengan baik apabila Najib kembali secepat mungkin selepas itu.

Mempertahankan Najib, Syed Arabi berkata pemimpin dunia tidak hanya berjumpa dan bermain golf.

"Mungkin ada beberapa agenda yang beliau bincangkan dengan Obama," katanya.

"Ini amalan biasa pemimpin dunia, Tunku dan Lee Kuan Yew juga selalu main golf tetapi ketika itu tidak banjir."

Dalam artikel The Washington Post, pada 24 Disember lalu, memetik kenyataan White House, dilaporkan yang kedua-dua pemimpin itu mengambil peluang membincangkan hubungan akrab yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.

Obama berkata, beliau mengharapkan untuk bekerjasama dengan Najib pada 2015, tahun ketika Malaysia mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean).

Sementara itu, Prof Madya Dr Azizuddin Mohd Sani, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, sebagai negara hubungan dagangan terbesar dunia, Malaysia perlu menjaga hubungan rapat dengan Amerika Syarikat, lebih-lebih lagi Malaysia juga dilantik sebagai Anggota Tidak Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila menerima 187 undian daripada 192 negara yang membuat pengundian secara sulit.

"Ia tidak sepatutnya jadi isu, hanya masanya yang tidak kena. Tetapi perdana menteri sudah balik segera dan melihat keadaan banjir.

"Jadi, saya rasa beliau sudah memperbetulkan keadaan," katanya.

Beliau berkata, tidak adil Najib dihukum sedangkan jadual pertemuan beliau dengan Obama berkemungkinan sudah disusun lebih awal.

"Hubungan Malaysia dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China itu penting. Dan kita perlu adil kepada Najib juga.

"Mana yang perlu diberikan keutamaan, banjir atau diplomatik yang penting? Tiada jawapan. Tetapi Najib sekarang sudah berada di kedua-dua situasi, itu yang paling penting," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata sekiranya Najib terus berada di Hawaii walaupun menyedari situasi banjir semakin buruk di Malaysia, barulah ia boleh dijadikan isu.

"Tetapi sekarang beliau sudah balik dan isu itu tidak sepatutnya timbul lagi," katanya. – 30 Disember, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/golf-di-hawaii-tak-salah-hanya-tak-kena-masa-kata-penganalisis#sthash.ouRjPrw8.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...