Datuk Mustaffa Idrus  

ALOR SETAR - Golongan artis sekalipun dibolehkan berdakwah dengan cara mereka tersendiri selagi tidak menyalahi hukum syarak dan akidah.

Timbalan Pengerusi, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, golongan itu tidak wajar diperlekeh dalam menyampaikan dakwah, namun sekiranya penyampaian dakwah atau ceramah disampaikan itu salah daripada akidah, wajarlah ditegur.

“Islam milik semua umat Islam, sesiapa sahaja berhak menyampaikan dakwah dan wajib mempertahankan kebenaran,” katanya.

Menurutnya, penyampaian atau bentuk dakwah yang pelbagai seperti irama lagu dan nyanyian tidak salah dipraktikkan, kerana seorang pendakwah itu mahu menyesuaikan ilmu agar mudah difahami selain mahu menarik minat semua golongan.

“Tidak wajar menghina golongan artis mahupun pendakwah yang berdakwah dengan pendekatan tersendiri, menggunakan penyampaian berbeza agar ilmu yang dikongsi diterima masyarakat. Ramai  pendakwah menggunakan nyanyian dan lawak jenaka agar lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.


Mustaffa berkata, pendekatan yang dibawa sama ada nyanyian atau lawak adalah kaedah supaya senang diterima masyarakat khususnya, golongan muda.

“Ia bukan kesalahan, adakah nas yang melarang menyampaikan dakwah melalui nyanyian? Contohnya, Ustaz Kazim Elias menyampaikan dakwah menerusi dendangan, Ustaz Azhar Idrus juga menggunakan pendekatan lagu dan jenaka, di mana hampir 70 peratus pendakwah menyampaikan ceramah diselitkan lagu,” katanya.

Menurutnya, sepatutnya seorang pemimpin bangga apabila golongan artis berubah kepada kebaikan, dan berdakwah ke arah memartabatkan Islam.

“Sama- samalah memartabatkan Islam, bukan menyindir dan mempersendakan artis yang mendapat hidayah dan rahmat ALLAH SWT untuk berubah dan berdakwah,” katanya.

Mustaffa berkata, seorang pemimpin sepatutnya menegur kepincangan yang berlaku dalam masyarakat, seperti isu lelaki berpakaian wanita atau peguam syarie bukan Islam, bukan isu remeh yang tidak memberi sebarang kesan apabila dibangkitkan.

“Ini bukan soal parti, ini isu agama. Siapa sahaja wajib berdakwah ke jalan ALLAH SWT, dan wajib suarakan jika salah laku wujud dalam agama. Kita boleh menegur, menyampai dan mengajar serta memperingati walau dengan satu ayat, selagi tidak bertentangan dengan perintah ALLAH SWT,” katanya.