TERKINI :

Thursday, December 11, 2014

Antara NAJIB & MAHATHIR mana yang penakut?

Dr M jawab kritik dengan penjelasan, Najib dengan saman, kata pengarang veteran

 Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak dilihat mempunyai pendekatan berbeza menangani kritik, kata bekas ketua pengarang NSTP, Datuk A Kadir Jasin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Disember, 2014.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak dilihat mempunyai pendekatan berbeza menangani kritik, kata bekas ketua pengarang NSTP, Datuk A Kadir Jasin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Disember, 2014.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press Datuk A Kadir Jasin membidas Datuk Seri Najib Razak kerana menyaman pengkritiknya, sedangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad menjawab balik kritikan dengan penjelasan.

Mengakui tidak wajar membandingkan Najib dan Dr Mahathir, namun Kadir ‎berpendapat sebagai ahli politik mereka perlu menggunakan medium mereka seperti di Dewan Rakyat atau berdebat bagi menangkis kritikan.

‎"Tetapi apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir sendiri menyatakan tidak pernah mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritiknya selama 22 tahun pentadbirannya, saya terpaksa melihat perspektif berbeza.

"Dr Mahathir berkata beliau akan terus jawab kepada rakyat sekiranya sesuatu isu timbul. Kutuk dia atau puji dia, dia memang ada kelas tersendiri. Memang tidak wajar bandingkan Najib dengan Dr Mahathir.

"Saya percaya, ahli politik, terutama mereka yang melalui proses pilihan raya, perlu menggunakan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri bagi menyelesaikan masalah dan meyakinkan rakyat. Mereka patut berdebat dan biarkan rakyat yang menghakimi," tulis Kadir di laman blognya.

Beliau berkata demikian mengulas notis saman diberi kepada dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) Rafizi Ramli dan Tony Pua, berhubung kenyataan mereka mengenai subsidi minyak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kadir (gambar, kiri) berkata, sebagai pemimpin dilantik rakyat, mereka bertanggungjawab mengubal dan memelihara undang-undang apabila mahkamah hanya mentafsirkan perundangan yang dibuat.

"Dengan membawa perkara ini ke mahkamah, mereka seperti mengakui tidak boleh lagi mempertahankan diri dari segi politik.

"Mereka mengakui mereka kalah dalam perdebatan dan tidak boleh lagi bergantung kepada kemahiran dan kebijaksanaan mereka bagi menangkis serangan," katanya.

Lebih dari itu, pengarang veteran itu menyifatkan tindakan memfailkan saman merupakan cara paling berkesan "mendiamkan" pihak lawan apabila cara lain tidak lagi menampakkan hasil.

Pada 24 November, Najib menghantar notis kepada Pua mendakwa sengaja memfitnah beliau berikutan isu 1MDB pada 3 November, hingga memberi tekanan besar dan memalukan beliau.

Najib menuntut ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan saman.

Awal bulan ini, Najib menghantar satu lagi notis kepada Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkenaan artikel "Kenapa kita pertahan subsidi minyak" yang disiarkan pada 22 November.

Pada masa sama, Kadir berkata, tindakan Najib menyaman pemimpin muda seperti Rafizi dan Pua hanya membuatkan kedua wakil rakyat itu "bermegah diri".

Tambahnya, Najib sepatutnya lebih memilih dalam menentukan siapa yang beliau harus tentang, mengambil kira faktor status dan usia.

"Najib patutnya 'lawan' dengan mereka yang sama usia dan status dengannya. Rafizi baru 34 tahun, dan Pua 42, Najib sudah 61," katanya.

Tambahnya, sewajarnya Rafizi dan Chua ditangani pemimpin muda Umno yang turut mewakili kerajaan yang lebih menyerlah seperti Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang juga Ketua Pemuda Umno. – 9 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dr-m-jawab-kritik-dengan-penjelasan-najib-dengan-saman-kata-pengarang-veter#sthash.DeiViFP1.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...