TERKINI :

Wednesday, November 12, 2014

Usah layan Ku Nan yang merepek

SUBKY LATIF

 

TENGKU Adnan Mansor, ketua bagi semua setiausaha Umno, tidaklah tua sangat tetapi sudah boleh dikira merepek.

Menjelang bulan puasa lalu, atas sifatnya Menteri Wilayah Persekutuan, dia membuat keputusan untuk menangkap golongan yang menyediakan makanan kepada orang gelandangan di Kuala Lumpur jika beroperasi sekitar jarak beberapa kilometer dari Bukit Bintang. Setelah semua orang maki dia atas keputusan bodohnya itu, dia tidak jadi bertindak.

Seminggu dulu dia diberi penghormatan oleh Umno berucap di hadapan golonan ulama Umno. Begitu ramai ulama dalam Umno, bukan ahli agama ditunjuk untuk memberi amanat kepada mereka.

Dia pun berkata, PAS adalah parti ajaran sesat. Tidak diketahui apa penerimaan golongan ulama parti sekular itu? Antara mereka beberapa kerat ahli ilmu yang keluar dari PAS.

Antara yang digeruni sangat oleh Tengku Adnan ialah institusi pra sekolah PASTI, yang ditaja PAS terdapat di seluruh negara. Dikiranya PAS telah meracun otak orang Melayu untuk membenci Umno sejak dari kanak-kanak lagi.

Nasihat saya pada PAS, usah layan sangat buruh VIP Umno itu kecuali ada ruang dia boleh disaman.

Cakapnya itu merepek. Dulu dia hina orang gelandangan. Sekarang difatwakannya pula PAS parti ajaran sesat.

Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS tidak perlu layan dia. Jika orang merepek dilayani nanti orang kita pun merepek macam dia juga. Kalau hendak repot polis, suruh ahli-ahli cawangan saja.

Tiada siapa yang hendak mendengar pencerahan tentang agama daripadanya. Jika konsep Wasatiyah yang Najib perkenalkan pun belum begitu diterima orang, dan konsep Islam Hadhari PM Tun Abdullah Badawi pun sudah hanyut entah ke mana, siapa yang hendak dengar khutbah agama Tengku Adnan yang orang tidak tahu di mana dia mengaji, siapa guru dan apa sijil agama yang dia ada.

Jika ada Dr. Asyraf Wajidi Dasuki terpesona dengan kata-kata merepek Tengku Adnan itu, maka tidak dipastikan di dahan kayu mana orang akan sangkutkan dia.

Dulu pun Dr. Mahathir kata macam-macam pada Datuk Asri, PAS dan pimpinannya. Serupa sesat jugalah. Tetapi apabila Datuk Asri tidak lagi dalam PAS, kerajaan anugerah dia Tokoh Maal Hijrah dan Yang Dipertuan Agong beri gelaran Tan Sri kepadanya. Tidak gilakah sekalian dengan kerenah tidak ketahuan itu?

Sebelum bersara dari PM, Dr. Mahathir perintah tarik semua bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat kerana ia membekalkan ustaz-ustaz bagi memimpin PAS. Selepas dia bersara, tiada siapa hormati arahannya. Bantuan diterusnya. Tidakkah ia tanda fikiran yang kusut.

Siapa Tengku Adnan dibandingkan dengan Mahathir dan Abdullah Badawi? Setakat kepala lutut mereka saja. Usah pedulilah kata-kata karutnya.

Semua ulama Umno menghormati Syeikh Yusuf Qardawi. Ketokohan dan ilmunya dihormati oleh umat Islam sedunia. Beliau berkawan baik dengan pimpinan PAS seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi Awang. Al-Qardawi adalah ketua badan ulama dunia manakala TG Abdul Hadi adalah timbalannya.

Jika PAS ejen pertubuhan sesat, masakan al-Qardawi berkawan dengan pimpinan PAS. Atau adakah beliau juga sesat? Usahlah kita kata, orang yang mengata orang tidak sesat itu sesat adalah sesat, tetapi boleh dikira karut dan merepek. – HARAKAHDAILY 11/11/2014

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...