TERKINI :

Sunday, November 2, 2014

Tunku Intan Safinaz dimasyhur Canselor UUM


  Tunku Intan Safinaz Tunku Abdul Halim
Tunku Intan Safinaz Tunku Abdul Halim

ALOR SETAR - Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tunku Abdul Halim akan dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu pada konvokesyen ke-27 Sabtu ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 9 September dan ia berkuatkuasa mulai 1 Ogos lalu.

"Sempena meraikan 30 tahun UUM dan konvokesyen kali ini, ia mencatatkan sejarah kerana dimulakan dengan istiadat pemasyhuran Tengku Intan Safinaz sebagai Canselor," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, UUM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada dua tokoh iaitu bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu dan seniman Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau M.Nasir.

"Pertama kali kita menganugerahkan ijazah kehormat dalam jurusan Pengurusan Pembangunan kepada seorang pemimpin politik berbangsa India bagi mengenang jasa dalam pembangunan yang dilakukannya.

"M Nasir pula mendapat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Industri Kreatif kerana banyak menyumbangkan lagu terutama lagu Melayu," katanya.

Mohamed Mustafa berkata, 6,608 graduan akan menerima ijazah termasuk 139 graduan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pentadbiran perniagaan dan bidang pengurusan, 1,090 Ijazah Sarjana, 5,378 Ijazah Sarjana Muda dan seorang Diploma Lepasan Ijazah (Diploma Pendidikan).

"Kita melahirkan 21 graduan sulung dari empat program iaitu Doktor Pengurusan, Ijazah Sarjana Undang-undang, Ijazah Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam serta Ijazah Sarjana Sains," katanya.

Berikutan itu, pesta kovokesyen akan bermula 5 hingga 12 November bertemakan "Mahasiswa Berintergriti Teras Kecemerlangan Negara".

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...