TERKINI :

Wednesday, November 12, 2014

Sikap Keras Hanya Menjauhkan Lagi Undi Golongan Muda Daripada Kerajaan

oleh Shahbudin Husin,

Berikutan tindakan pemimpin mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol menjemput Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyampaikan pidatonya di universiti itu beberapa minggu lalu yang kemudian menimbulkan kontroversi dan ketegangan, beliau kini menerima satu demi satu tekanan dalam hidup dan pembelajarannya.

Rakan-rakan yang sependirian dengannya juga turut menerima tindakan yang sama. Pidato Anwar yang menyebabkan berlakunya rempuhan pagar di UM nyata telah mengundang rasa kurang senang pentadbiran universiti itu.

Beberapa hari selepas pidato itu, beliau dan lapan lagi rakannya telah dihadapkan sehingga sembilan pertuduhan disiplin yang memungkinkan kesemuanya digantung atau dibuang daripada universiti. Kes itu masih menunggu perbicaraan.

Tindakan menggantung dan membuang mereka, sekiranya diputuskan nanti, tentunya merupakan sesuatu yang keras dan tidak seharusnya berlaku demi masa depan mereka kerana sebahagian besarnya sudah berada di tahun akhir pengajian.

Kenapakah pihak UM tidak boleh berlembut dan bertolak-ansur dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan, sebaliknya terus mengutus surat untuk mengambil tindakan disiplin?

Pihak UM tidak seharusnya mengabaikan fakta bahawa kumpulan pelajar ini juga kemudian menjalankan tanggungjawab murni dengan membawa nenek Wahida dari Kampung Cubadak ke universiti itu dan mengadakan kutipan derma membantu nasib malangnya?

Beberapa hari lalu pula, ketika Fahmi dan beberapa rakannya berada di UMS di Sabah, mereka sekali lagi ditahan ketika ingin memberikan ucapan bersama sekumpulan pelajar universiti itu. Pihak polis juga kemudian menjalankan pemeriksaan ujian air kencing terhadap mereka. Ini jelas keterlaluan dan seperti ingin mengugut mereka.

Terbaru ini dilaporkan pula Fahmi telah menerima surat tunjuk sebab daripada JPA yang memintanya memberi penjelasan kerana menganjurkan pidato Anwar Ibrahim itu.

Risiko yang sedang menantinya bukan saja biasiswanya bakal ditarik balik tetapi juga berdepan tuntutan gantirugi.

Atas semua tindakan yang dilakukan oleh pihak universiti dan kerajaan terhadap Fahmi dan rakan-rakannya, tidak dinafikan ianya terlalu keras dah seolah-olah menunjukkan sikap ingin bermusuhan secara berterusan dengan mereka.

Kerajaan dan universiti seharusnya memahami bahawa mereka ini adalah golongan muda yang tengah semarak jiwa merdeka dan idealismenya. Meneruskan tindakan keras akan menyebabkan tindakbalas yang keras dan berpanjangan juga, bukan saja daripada mereka yang terlibat tetapi juga daripada majoriti kelompok orang muda lainnya.

Kerajaan akan dianggap tidak mahu memahami jiwa muda mereka. Kesilapan mereka ini seharusnya diperbetulkan dengan pendekatan lemah-lembut dan memujuk, bukannya dibalas dengan kekerasan.

Sebagaimana beberapa mahasiswa yang diambil tindakan keras sebelum ini seperti Safwan Anang dan Adam Adli yang akhirnya menyebabkan mereka menjadi ikon golongan muda, kerajaan sebaliknya tidak mendapat untung apa-apa dengan menghukum dan menjauhi kedua-dua pelajar itu.

Adalah lebih bijaksana dan berhemah kiranya dalam isu Fahmi dan rakan-rakannya ini, pihak universiti dan kerajaan mengadakan pertemuan dan berbincang dengan mereka secara baik demi keuntungan kedua-dua belah pihak. Mereka harus didekatkan dengan kerajaan melalui cara yang baik. Setelah ketiadaan ikon anak muda yang pro kerajaan, menambah seorang lagi idola yang bersikap sebaliknya bukanlah berita yang menggembirakan untuk mempertahankan Putrajaya.

Masa depan mereka sebagai bakal pewaris kepimpinan dan tulang belakang negara seharusnya lebih dihargainya, lebih-lebih lagi sebahagiannya sudah berada di tahun akhir pengajian. Dengan mengadakan pertemuan, perbincangan dan saling tolak ansur juga dapat menunjukkan kerajaan benar-benar menghargai tenaga dan peranan golongan muda ini sebagaimana yang kerap dilaung-laungkan selama ini.

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya berperanan sebagai bapa yang boleh berbincang dan mendengar masalah anak-anak dan bukannya hanya tahu memegang rotan untuk menghukum.

Sebaliknya, sikap keras, berunsur dendam dan cuba menunjuk kuasa akan menjauhkan lagi golongan ini dengan kerajaan. Apakah kerajaan sudah lupa bahawa bukan saja golongan muda menjadi penentu dalam pilihanraya akan datang, bahkan pengundi baru yang pertama kali mengundi saja jumlahnya seramai kira-kira 5 juta orang? (SH 11/11/2014)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...