Ketua Pembangkang Dun Kedah yang juga Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (kiri) berbincang sesuatu bersama Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahaya.  
Ketua Pembangkang Dun Kedah yang juga Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (kiri) berbincang sesuatu bersama Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahaya.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah digesa memperjelaskan sama ada enam projek mega yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), dibiayai sendiri atau pelaksanaannya kelak bergantung kepada kelulusan peruntukan daripada Pusat.

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, projek mega yang digariskan itu perlukan modal yang besar, dan adakah kerajaan negeri berhasrat menjalin kerjasama dengan pihak swasta melalui Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam memastikan perancangan itu direalisasikan.

http://utusandaily.blogspot.com/2014/11/4-hotel-paling-unik-di-malaysia.html

“Peruntukan untuk melaksanakan enam projek itu tidak disebut dalam bajet, bermakna ia hanya perancangan masa depan. Mohon perincikan setiap projek sama ada guna peruntukan negeri atau Pusat berikutan ekonomi sekarang kurang memberangsangkan,” katanya, ketika sesi perbahasan Bajet 2015,  semalam.
Enam projek itu ialah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE), Bandaraya Getah Kedah (Kedah Rubber City), Taman Sains dan Teknologi Kedah (Kedah Science and Technology Park) dan Bandaraya Sains Perubatan Kedah.

Amiruddin turut mencadangkan agar kerajaan negeri tidak ketepikan projek mikro, apabila menggariskan projek makro, dan memberi tumpuan kepada projek yang memberi kesan secara langsung kepada penduduk, seperti memproses hasil tanaman.

Beliau turut mempersoal status Projek Tebatan Banjir (PTB) Kampung Bohor ke Tandop Keloncong sejauh 12.6 kilometer di lencongan Sungai Baru.

“Projek ini ditawarkan kepada kontraktor Januari lalu, sudah hampir setahun namun kemajuannya sangat perlahan. Sepatutnya kemajuan projek cecah 50 peratus tetapi sekarang tidak sampai 1 peratus kerja-kerja dilakukan,” katanya.

Berikutan itu, Amiruddin mohon agar projek itu dinilai semula selain mahukan penjelasan status projek sama ada masih dalam rundingan atau batal.