TERKINI :

Sunday, November 23, 2014

Semeling bukan lagi pekan koboi

Lorong belakang di pekan Semeling yang berubah wajah menjadi tarikan apabila 95 lukisan menghiasi belakang rumah kedai dan rumah kediaman penduduk.

SEMELING – Sasaran 10,000 orang ke pekan Semeling sempena Minggu Pelancongan Kedah Tua yang akan berakhir esok mampu dicapai memandangkan kehadiran pengunjung untuk hari ketiga semalam mencecah 6,000 orang.

Setiausaha Minggu Pelancongan Kedah Tua, Tan Chee Tong berkata, setakat ini, sambutan yang diterima amat memuaskan yang mana keseluruhan kawasan yang dimasukkan ke kalendar pelancongan dilawati pengunjung.

Menurutnya, sebanyak 95 lukisan karakter kartun kanak-kanak, pemandangan, berkaitan sejarah Kedah dan lukisan 3D menghiasi lorong belakang pekan Semeling yang dahulunya sunyi sepi.

“Ini sebenarnya hanya permulaan dan promosi memperkenalkan Semeling kepada orang ramai,” katanya.


Menurut Chee Tong, kebanjiran pengunjung ke kawasan 'pekan koboi' itu sebenarnya membangunkan Semeling selain meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Apabila ditanya mengenai lukisan yang didakwa pengunjung tidak terlalu kemas, katanya, idea penghasilan datangnya daripada sukarelawan yang merupakan anak jati Kedah.

“Kita mahu mempromosikan aktiviti anak jati Kedah dan kalau boleh tidak mahu menggunakan khidmat pelukis asing,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 40 pelukis dari sekitar Kulim, Sungai Petani, Alor Setar dan sekitar negeri ini terlibat dalam menghasilkan 95 lukisan selain dibantu 300 sukarelawan termasuk pelajar dan mahasiswa.

Beliau berkata, acara kemuncak ialah perasmian pada esok, jam 9 malam oleh menteri besar yang dijadualkan mengetuai gendang 24 musim (288 biji gendang).

Sementara itu, penduduk Semeling, Roshalizawati Ahmad, 32, berkata, transformasi yang dilakukan kepada Semeling membolehkan penduduk turut merasai impak pembangunan, namun beberapa perancangan diharap tidak memberi kesan terhadap kegiatan penduduk,” katanya.

Selain itu, Habali Shaari, 53, dari Taman Malinja, berkata, sejak minggu pelancongan dilancarkan 19 November lalu, laluan pekan Semeling ditutup untuk kenderaan biasa sepanjang lima hari itu.

“Kami harap pembangunan yang bakal memberi nafas baru buat Semeling ini akan dirancang secara sistematik tanpa perlu membebankan penduduk,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...