TERKINI :

Wednesday, November 12, 2014

Puncak Niaga, Syabas kini milik Pengurusan Air Selangor

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd kini menjadi pemilik baharu kepada Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) susulan pemeteraian penjanjian jual beli saham antara Pengurusan Air Selangor dengan Puncak Niaga Holdings Bhd.

Puncak Niaga Holdings Bhd adalah pemegang 100% saham dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan memegang 70% saham dalam Syabas.

Pemeteraian perjanjian tersebut merupakan titik permulaan kepada pelaksanaan Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 September lepas antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Bhd dan Pengurusan Air Selangor.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (gambar) berkata, pemilikan baru tersebut akan membolehkan langkah-langkah seterusnya diambil untuk memuktamadkan perstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Pemeteraian ini juga bermakna Pengurusan Air Selangor akan mula mengambil alih sebahagian besar daripada perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur bagi mencapai hasrat kerajaan Negeri Selangor untuk menguruskan sendiri industri perkhidmatan air di negeri itu," katanya hari ini.

Pada majlis itu, Pengurusan Air Selangor diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaruzaman manakala Puncak Niaga diwakili oleh Datuk Ruslan Hassan.

Sementara itu, Ongkili berkata bagi Konsortium Abass (Abass) yang dimiliki sebanyak 90.83% oleh Kumpulan Perangsang Selangor dan bakinya oleh Operasi Murni (M) Sdn Bhd, ia mempunyai empat bulan lagi untuk menyelesaikan transaksi penjualan ekuitinya kepada Pengurusan Air Selangor.

"Manakala, bagi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) pengambilan ekuitinya dijangka dapat diselesai dalam tempoh 10 bulan," kata Ongkili.

Menteri tersebut berkata pengambilalihan itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM7.8 bilion berbanding RM9.65 bilion yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor.

"Kerajaan persekutuan amat gembira dengan perkembangan ini yang merupakan salah satu langkah bagi menjamin kemampanan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Semasa ditanya mengenai semakan semula tarif air selepas pengambilalihan itu, Ongkili berkata itu terserah kepada kerajaan Negeri Selangor menentukannya.

Pengurusan Air Selangor adalah syarikat perantara tujuan khas yang diwujudkan oleh kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih semua syarikat konsesi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – Bernama, 11 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/puncak-niaga-syabas-kini-milik-pengurusan-air-selangor#sthash.rv1NV3B0.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...