TERKINI :

Saturday, November 8, 2014

Presiden termiskin dunia ditawar AS$1 juta

AGENSIMONTEVIDEO 7 Nov. - Presiden Uruguay, Jose Mujica mengakui beliau menerima tawaran sebanyak AS$1 juta (RM3.26 juta) daripada seorang jutawan Arab yang mahu membeli kereta antik Volkswagen Beetle 1978 yang menjadi simbol kehidupan sederhananya.

Mujica, 79, yang disenaraikan sebagai presiden termiskin di dunia memberitahu majalah mingguan, Busqueda baru-baru ini tentang hasrat jutawan Arab yang tidak dinamakan itu untuk membeli keretanya yang berusia 27 tahun.

Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk menjual kereta tersebut kerana tidak berminat mengumpul kereta antik, tetapi tidak mengambil serius tentang tawaran itu.“Jika saya mendapat wang sebanyak itu, saya akan menggunakan wang tersebut untuk program pembinaan rumah bagi gelandangan atau membeli trak atas kegunaan pejabat kesihatan awam Uruguay atau pekerja kempen.

“Sudah menjadi sifat manusia untuk memiliki minat terhadap sesuatu objek termasuk mengumpul kereta klasik,” kata Mujica apabila ditanya tentang sebab jutawan Arab yang sanggup berbelanja besar untuk membeli kereta tersebut.

Mujica telah menggunakan kereta berkenaan sejak bertahun-tahun termasuk selepas menjadi Presiden Uruguay pada 2010 selain dikenali sebagai pemimpin yang mengamalkan hidup bersederhana.

Beliau menyerahkan 90 peratus daripada AS$11,000 (RM36,718) duit gajinya sebagai Presiden pada setiap bulan kepada pusat kebajikan selain tinggal di sebuah rumah kecil terletak di pinggir ibu negara, Montevideo.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...