Beban hutang mengundang stres. - Gambar hiasan  
Beban hutang mengundang stres. - Gambar hiasan

"PINJAM seringgit! Lupa bawa duit belanjalah hari ini..." Walaupun dialog ini biasa didengar, namun ia mungkin simptom awal penyakit hutang kalangan kanak-kanak di bangku sekolah. Sikap berani berhutang ini jika dibiarkan ia boleh terbawa-bawa hinggalah dewasa.

Setiap orang yang berhutang mempunyai alasan tersendiri. Jika dikumpulkan peningkatan hutang yang berlaku di peringkat global termasuk Malaysia kian membarah.

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan pemberian pinjaman bank kepada sektor isi rumah sebahagian besarnya didorong oleh pinjaman pembelian aset, seperti hartanah, kenderaan dan pelaburan.

"Keperluan hidup yang mendesak memaksa masyarakat memilih hutang sebagai penyelesaian untuk mengecap kehidupan idaman serta berbelanja melebih keperluan dan kemampuan," kata Profesor Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abu Hassan Shaari Md Nor ketika membentangkan kertas kerjanya bersama Prof Madya Dr Tamat Sarmidi dan Jasni Abus Suffian Omar, bertajuk Faktor Peningkatan Hutang Isi Rumah.

Katanya, berdasarkan teori ekonomi Barat, perbelanjaan isi rumah sentiasa menggalakkan pembaziran bukanlah isu besar, asalkan ekonomi boleh bergerak dengan rancak. Malah ia mendorong unsur pembaziran, penganiayaan serta membebankan (berbelanja di luar kemampuan).

Dari segi perspektif Islam, perbelanjaan yang mulia adalah perbelanjaan yang dilakukan di jalan ALLAH SWT merangkumi pelaksanaan tanggungjawab wajib seperti zakat, nafkah kepada ibu bapa dan keluarga, membantu golongan miskin serta sedekah jariah.

Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek kehidupan manusia sangat mengambil berat tentang masalah hutang-piutang dan telah menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berkaitan.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang (yang diberi tempoh) hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu." (Surah Al-Baqarah: 282)

Nabi Muhammad SAW dalam solatnya selalu berdoa: "Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu daripada berbuat dosa dan lilitan hutang." Seorang sahabat bertanya kepada Baginda SAW, "Mengapa kamu banyak meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?" Jawab Baginda SAW tegas: "Sesungguhnya seseorang apabila sedang berhutang ketika dia berbicara biasanya berdusta dan bila berjanji sering mengingkarinya." (Riwayat Al Bukhari)

Islam tidaklah mengharamkan hutang kerana dilihat sebagai perbuatan saling tolong-menolong antara umat manusia dalam perkara kebajikan. Hutang piutang dapat mengurangkan kesulitan orang lain dan mengeratkan silaturahim antara keduanya.

Memberi hutang hukumnya sunat atas tujuan untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Manakala hukum berhutang pula harus, namun dalam situasi yang berlainan hukum berhutang boleh berubah mengikut keadaan. Jika seseorang benar-benar dalam kesempitan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib baginya berhutang.

Desakan hawa nafsu
Ketua Jabatan Pengurusan Sumber & Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohamad Fazli Sabri dalam topiknya Beban Hutang Implikasi Kepada Kebajikan Isi Rumah & Ekonomi Negara berkata, hutang dikategorikan kepada dua jenis.

Pertama, hutang baik apabila seseorang membuat pinjaman untuk melabur atau membeli sesuatu aset (barangan atau perkhidmatan) di mana nilai aset tersebut semakin meningkat atau ia dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang. Contohnya membuat pelaburan pendidikan, saham dan membeli hartanah.

Manakala hutang tidak baik merupakan pinjaman untuk melabur atau membeli aset di mana nilainya mengalami penurunan serta menjejaskan kualiti hidup seseorang. Contohnya, membeli kenderaan dan perabot rumah.

Hasil kajian The Consumer Credit Counselling Service pada 2010 ke atas 372 pelanggan mereka mendapati masalah hutang memberi kesan ke atas perhubungan mereka dengan pasangan (37 peratus), anak (22 peratus), dan hampir 50 peratus menyatakan ia mempengaruhi tahap kesihatan mereka.

Antara faktor penggunaan kredit kalangan masyarakat adalah desakan hawa nafsu serta keinginan untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan, pengaruh daripada orang sekeliling, tidak bersyukur dengan apa yang ada, keinginan memiliki sesuatu dengan cepat, dan peningkatan kemudahan pinjaman.

Felo Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Ikim, Muhammad Hisyam Mohamad berkata, dari aspek positif, hutang dilihat mampu untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah. Malah dalam konteks semasa, ia boleh dikatakan sebagai satu keperluan.

Menerusi pelbagai instrumen hutang yang ditawarkan institusi kewangan, masyarakat berupaya untuk memenuhi keperluan asasi mereka seperti keperluan perumahan, pengangkutan dan pendidikan.

Dalam konteks kepenggunaan, manusia perlu mematuhi panduan digariskan ALLAH SWT. Al-Quran menegaskan sikap boros merupakan sifat yang perlu dijauhi manusia. Oleh itu, perbelanjaan perlu mengikut hierarki keperluan dan perlu diseimbangkan mengikut kemampuan kewangan individu.

Jamin kehidupan baik

Profesor Dr Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Universiti Malaya (UM), berkata, terdapat tiga jenis hutang iaitu hutang isi rumah, hutang kerajaan dan hutang swasta.

"Apabila beban hutang mencapai tahap yang tinggi, ini bermakna keadaan ekonomi dan kewangan sesebuah negara adalah dalam keadaan sangat rapuh."

Menurutnya, memberi hutang untuk mendapat keuntungan adalah dikecam oleh Islam dan dianggap sebagai dosa besar. Perbuatan ini dikenali sebagai amalan riba dan ia diamalkan sejak sebelum zaman Rasulullah SAW. Riba kini semakin kuat dan berpengaruh.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada ALLAH supaya kamu berjaya.” (Surah Ali Imran: 130)

Hayatan tayyibah

Felo, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Ikim, Mohd Azhar Hashim dalam kertas kerjanya bersama Pegawai Penyelidik Kanan, Nor Hartini Saari, bertajuk Memupuk gaya hidup secara berhemat, berkata, kebanyakan kes muflis melibatkan golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah.
"Ada yang pihak yang menyalahkan gaya hidup anak muda yang bebas. Terdapat juga pelbagai pihak menyalahkan sistem perbankan dan kewangan yang begitu mudah memberi pinjaman kepada pengguna tanpa mengira kesan yang bakal dihadapi," katanya.

Tambahnya, kemelut kewangan berlaku sejak zaman Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda: "Janganlah kamu menakutkan (mendatangkan rasa tidak tenteram) ke atas diri kamu sendiri setelah kamu beroleh ketenangan." Sahabat bertanya: "Apakah maksudnya itu wahai Rasulullah?" Jawab Baginda SAW: "Hutang." (Riwayat Ahmad, At-Thabarani, Abu Ya'la, Al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Walaupun kehidupan hari ini segala-galanya memerlukan wang, namun dengan memupuk gaya hidup secara berhemat, berjimat cermat dan seterusnya membina kekayaan menerusi amalan menabung.  Mengurus kewangan secara bijak merupakan satu kemahiran penting hari ini untuk menjamin hayatan tayyibah.

Pendidikan kewangan peribadi menjadi bidang penting di dunia ini. Pihak berkuasa kewangan di kebanyakan negara seluruh dunia termasuk Malaysia melaksanakan pelbagai program pendidikan kewangan sebagaimana ia dianjurkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Pusat Pembangunan Sekuriti (SIDC).

Nazari berkata, amnya, program pendidikan kewangan tersebut termasuk pengurusan hutang, berbelanja secara berhemat, keperluan menyimpan atau menabung. Kita diingatkan supaya berbelanja mengikut kemampuan. Islam melarang umatnya daripada membazir kerana ia menjauhkan jurang golongan kaya dan miskin.

ALLAH SWT berfirman: "Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah Al-Israa': 26-27)

Surah Al-Baqarah ayat 2 adalah ayat paling panjang dalam al-Quran, yang mengupas secara terperinci dan tersusun mengenai peraturan berhutang.

Ujian hamba ALLAH

Pengarah Institut Pengurusan Harta & Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Norhazlina Ibrahim berkata, dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah ALLAH. Ia adalah keperluan untuk mencapai kehidupan yang diberkati dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Secara umumnya, lima aspek pengurusan harta secara Islam iaitu penghasilan harta, pengumpulan harta, perlindungan harta, pengagihan harta dan penyucian harta.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyuruh kita bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. ALLAH SWT berfirman: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)

"Dan juga mereka (yang diredai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah Al-Furqan: 67)

"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah Al-Anfal: 28)

Dalam mengumpul harta, pastikan sumber harta kita halal dan jika melabur, pastikan ia menepati syariat dan jauhi riba. Selain itu, setiap harta ada hak tertentu untuk dibahagikan seperti berzakat dan sedekah jariah.

Islam juga memperuntukkan kaedah untuk pengagihan harta sebelum atau selepas mati seperti waqaf, wasiat dan hibah.

Dalam menghadapi cabaran dan godaan tawaran produk kewangan hari ini, kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Apa jua keputusan, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dengan berpandukan kepada prinsip yang digariskan Maqasid Syariah atau matlamat syariah.

Golongan ulama membahagikan keutamaan maqasid kepada tiga iaitu:
1. Al-Dharuriyat - Keperluan asas manusia yang tidak boleh dipisahkan dalam hidupnya. Keperluan ini meliputi lima perkara iaitu aqidah, nyawa, akal, maruah atau kehormatan, dan harta.
2. Al-Hajiyat - Keperluan seseorang bagi memudahkan kehidupannya di dunia dan akhirat.
3. Al-Tahsiniyat - Perkara berkaitan dengan kesempurnaan, kecantikan dan kemewahan hidup dalam menjalani hidup sebagai seorang insan di dunia dan akhirat. Tanpa perkara ini, seseorang masih boleh meneruskan kehidupannya.

Pembentang lain turut berkongsi ilmu dalam  seminar tersebut, ialah Pengurus Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub dengan kertas kerjanya bertajuk Pola Hutang Isi Rumah, dan Ketua Jabatan Pengajian Siswazah, Universiti Kuala Lumpur, Prof Dr Naziruddin Abdullah, dengan pengisiannya Hapuskan monopoli & Manipulasi Harga Dalam Pasaran.