Che Yah bersama Hussain di dalam rumah yang terbengkalai pembinaannya.  
Che Yah bersama Hussain di dalam rumah yang terbengkalai pembinaannya.

PADANG PUSING - Seorang warga emas dari Kampung Pondok Chegar, di sini, memohon bantuan pihak sewajarnya untuk membantu menyiapkan pembinaan rumahnya yang terbengkalai hampir tiga bulan lalu.

Che Yah Jamaluddin, 84, berkata, rumah itu asalnya dibina dengan bantuan sebuah organisasi untuk membaik pulih rumah lamanya yang uzur namun, projek terbabit ditinggalkan dalam keadaan tidak siap.

Menurutnya, kini dia menetap di rumah wakaf berdekatan dengan rumah yang dibina terbabit.

"Kalau boleh makcik nak merasa tinggal di rumah yang selesa dan sempurna. Bila pulang dari masjid, makcik sedih melihat keadaan rumah yang dibiarkan begitu.

"Makcik sering tertanya-tanya kenapa mereka beri bantuan kalau tidak siapkan dengan sempurna dan dibiarkan begitu tetapi tidak tahu kepada siapa hendak mengadu," katanya.
Katanya, rumah terbabit tidak mampu disiapkan kerana dia tidak bekerja dan hanya mengharapkan belanja harian daripada anak-anaknya.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menyalurkan bantuan ini tapi sedih apabila rumah ini dibiarkan begitu," katanya.

Sementara itu, anak tirinya, Hussain Mohamad Tahir, 72, berkata, dia pernah memohon bantuan dari pihak terbabit untuk membaik pulih rumah ibunya yang semakin uzur namun, ia tidak disiapkan dengan sempurna.

"Permohonan saya dipandang serius tapi yang menjadi masalah kenapa melakukan kerja tanpa diselesaikan.

"Kasihan pada ibu, saya sedih melihat keadaan rumahnya yang dibiarkan begitu," katanya.