TERKINI :

Saturday, November 8, 2014

Nik Nazmi ada alasan untuk saman Peguam Negara atas dakwaan berniat jahat

 Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad akan memfailkan saman terhadap Peguam Negara dalam masa 14 hari kerana dakwaan berniat jahat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 November, 2014.
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad akan memfailkan saman terhadap Peguam Negara dalam masa 14 hari kerana dakwaan berniat jahat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 November, 2014. 

Keputusan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad untuk menyaman Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagi dakwaan berniat jahat mempunyai alasan yang kukuh kerana beliau didakwa untuk kesalahan yang tidak lagi wujud dalam Perlembagaan, kata para peguam.

Mereka berkata, tindakan berulang Peguam Negara terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor itu di mahkamah rendah selepas keputusan Mahkamah Rayuan April lepas menunjukkan kurang kepercayaan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Fahri Azzat berkata tindakan Peguam Negara terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu seolah-olah menunjukkan beliau sama ada tidak mengetahui undang-undang atau tidak memahami bagaimana sistem undang-undang berfungsi.

"Anda tidak boleh mendakwa seseorang di bawah kesalahan yang sudahpun dihapuskan oleh mahkamah lebih tinggi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Fahri berkata demikian sebagai respon kepada tindakan Nik Nazmi untuk memfailkan saman selepas dibebaskan – buat kali keempat – daripada dakwaan melanggar Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak rayuan pendakwaraya terhadap pembebasan Nik Nazmi atas alasan ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Peguamnya, N Surendran berkata, Peguam Negara yang juga merupakan pendakwaraya awam, perlu bertanggungjawab atas tindakannya.

Peguam Syahredzan Johan yang sedang menyediakan kertas kerja untuk saman tersebut berkata akan memfailkan saman dalam masa 14 hari.

"Kami akan maklumkan kepada anda sebaik sahaja sedia untuk memfailkannya," tambahnya.

Ahli politik PKR 32 tahun itu didakwa pada 17 Mei tahun lepas di Mahkamah Sesyen kerana melanggar Seksyen 9 (1) PAA kerana gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum perhimpunan "Blackout 505" pada 8 Mei tahun lepas.

Perhimpunan tersebut diadakan di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seksyen 9 (5) menyatakan sesiapa yang didapati bersalah boleh disaman hingga RM10,000 dan dalam kes Nik Nazmi, beliau berisiko kehilangan jawatan dalam kerajaan Selangor sekiranya disabit kesalahan.

Beliau gagal mendapatkan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan dakwaan terhadapnya atas alasan Seksyen 9 (1) dan 9 (5) serta Akta Perhimpunan Awam adalah tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan dalam keputusan terakhirnya menyatakan Parlimen tidak boleh mendakwa tindakan Nik Nazmi sebagai kesalahan kerana menjadi penganjur perhimpunan tersebut.

Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas menghapuskan Seksyen 9 (5) kerana ia bercanggah dengan hak untuk berhimpun secara aman yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaraya memfailkan dakwaan baru atas kesalahan yang sama pada Mei tahun ini di Mahkamah Sesyen.

Tetapi Mahkamah Sesyen membebaskan Nik Nazmi mengikut keputusan Mahkamah Rayuan sebelum itu. Pihak pendakwaraya kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Semalam, hakim Mahkamah Tinggi berkata, mahkamah lebih tinggi sudahpun memberi arahan kes ini tidak boleh disemak semula mahkamah lebih rendah, mengikut kes sebelum ini.

Peguam Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, tindakan berulang Peguam Negara terhadap Nik Nazmi jelas menunjukkan beliau "berniat jahat dan berdendam."

Paulsen berkata agar sukar untuk mencabar Peguam Negara akan tetapi tetapi kes tersebut sesuai bagi pendakwaan berniat jahat.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin berkata, tindakan Peguam Negara tersebut perlu dicabar kerana Mahkamah Rayuan sudahpun menghapuskan hukuman bagi kesalahan mengikut PAA.

Beliau berkata, adalah mengejutkan mengapa pihak pendakwaraya mengambil tindakan sebegitu terhadap Nik Nazmi.

"Dakwaan berniat jahat diiktiraf sebagai tindakan sivil common law yang dikenalpasti dan plaintif juga pernah memenangi kes terhadap pihak berkuasa," katanya.

Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang berkata, sebagai pelindung orang awam, Peguam Negara juga perlu menghormati undang-undang dan prosesnya.

"Pada saya, kes Nik Nazmi tidak boleh ke Mahkamah Persekutuan kerana kes PAA bermula di Mahkamah Sesyen, dan perlu berakhir di Mahkamah Rayuan," katanya.

Hanipa berkata Peguam Negara perlu berusaha menghentikan hikayat PAA itu dan menerima keputusan mahkamah. – 8 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-nazmi-ada-alasan-untuk-saman-dakwaan-berniat-jahat-kata-peguam#sthash.7uRF0TJI.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...