Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali

SHAH ALAM - Majlis Syura Pas telah membuat keputusan tepat
apabila menggugurkan keanggotaan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin
Mat Isa dari menganggotai badan tertinggi parti itu. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Majlis Syura tahu apa
yang pihaknya putuskan kerana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan
alasan kukuh selepas membuat kajian menyeluruh.

“Majlis Syura sudah membuat kajian dan tahu mengapa Nasharudin perlu
dilucutkan. Justeru keputusan pengguguran ini sangat wajar. Semua pihak
perlu menerimanya dengan terbuka,” katanya.

Ketika ditanya adakah di sebalik keputusan ini Pas melabel Nasharudin
sebagai duri dalam daging dan membahayakan parti, beliau enggan
memberikan komen lanjut.  

“Saya tidak mahu komen hal itulah.  Apa yang pasti pengguguran Nasharudin ini tidak akan menggugat parti.

“Bahkan Insya-ALLAH tidak akan mengganggu persediaan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti,” tegas beliau.

Semalam, Majlis Syura Pas mengesahkan  menggugurkan keanggotaan
Nasharudin yang juga  Ahli Parlimen Bachok kerana didakwa telah
melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan
oleh Majlis Syura.

Keputusan mengenainya dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang
dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
surat mengenai perlucutan Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura sudah
diserahkan selepas mesyuarat tersebut.

Justeru Nasharudin kini hanya sebagai ahli biasa Pas tanpa sebarang
jawatan
. Sebelum ini beliau pernah digugurkan sebagai ahli jawatankuasa
kerja Pas Pusat.