TERKINI :

Friday, November 7, 2014

Mufti jumpa SIS 2 tahun sebelum keluar fatwa

Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) menafikan dakwaan tiada pertemuan dibuat dengan NGO Sister in Islam (SIS) sebelum fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama diwartakan pada 17 Julai 2014.

"Satu pertemuan dengan SIS bersama ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah diadakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 12 Januari 2012 bertempat di Bilik Mesyuarat JMNS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pertemuan itu dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid (kiri); dan dihadiri oleh seramai lapan orang wakil SIS.

"Antara (wakil SIS yang hadir) ialah Zainah Mahfoozah Anwar (bekas pengarah eksekutif SIS), Datin Marina Mahathir (pengasas SIS) dan Puan Ratna Osman (pengarah eksekutif SIS)," kata kenyataan itu.

SIS telah memfailkan semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor berhubung fatwa yang melabel NGO itu sebagai "sesat dan menyeleweng" dari ajaran Islam.

Fatwa yang diwartakan di Selangor pada 17 Julai itu menyatakan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan memetik NGO itu sebagai contoh.

Semalam, Tamyes dilaporkan berkata beliau mahu memberi ruang kepada cabaran fatwa itu yang dikemukakan SIS di mahkamah untuk melalui proses sewajarnya sebelum bersetuju untuk bertemu mereka.

Kenyataan itu dibuatnya selepas Menteri Besar, Azmin Ali mencadangkan satu pertemuan di antara mufti dan SIS diadakan untuk merungkai kontroversi fatwa itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...