TERKINI :

Thursday, November 13, 2014

Mengapa menipu untuk bergaya, sampai lupa 2 Malaikat kiri kanan sedang memerhati..!!

Oleh NORDEN MOHAMED


SAYA masih ingat lagi sebuah insiden ketika saya menuntut di UiTM Dungun pada tahun 1975. Suatu hari, tatkala berjalan pulang dari kampus, teman sebilik saya, Halim mengadu pening.Lantas kami singgah ke sebuah kedai ubat lalu bertanyakan Panadol kepada taukenya.

Lelaki itu menyerahkan sepapan pil. Seketika membelek pil yang dipeolehi, Halim mengembalikan ubat itu semula.

‘Kenapa engkau tak jadi beli Panadol, tu?’ tanya saya kehairanan tatkala kami melangkah keluar dari kedai itu. Sambil tergelak besar, Halim menjawab, ‘Tauke tu bukannya beri aku Panadol… tapi Panatot!’

Saya tidak pernah terjumpa lagi produk Panatot di pasaran. Tetapi Panatot adalah contoh sebuah produk ciplak atau tiruan. Dengan menggunakan jenama yang hampir sama dengan sebuah produk yang laris, Panatot mendapat keuntungan dengan cara mengelirukan pengguna.

Dalang di sebalik produk tiruan ini hidup senang-lenang dengan cara menipu.

Selain daripada produk ciplak, kita tahu terdapat banyak lagi produk cetak rompak. Cetak rompak lebih tidak bermaruah kerana menggunakan nama produk asal, walhal barang yang dijual itu adalah barang tiruan. Di antara punca keruntuhan industri muzik dan filem di Malaysia adalah akibat cetak rompak.

Salinan asal karya muzik dan filem itu dicuri dan kemudiannya disalin, dicetak dan dijual ke pasaran. Kadangkala, hasil cetak rompak itu lebih dahulu muncul di pasaran berbanding dengan karya original. Ia menjejaskan jualan karya asal lebih-lebih lagi apabila ia dijual dengan harga lebih murah.

Jika dahulu, produk cetak rompak mempunyai kualiti yang rendah. Kini, dengan kecanggihan teknologi, produk cetak rompak juga mempunyai kualiti yang sama. Para peminat yang menyukai muzik semata-mata tetapi tidak menghormati karya seni akan memilih barangan cetak rompak.

Busana, aksesori, beg, tas tangan dan kasut juga adalah di antara barangan cetak rompak yang popular. Pembelinya memilih barangan cetak rompak itu kerana jenamanya. Selain daripada itu, banyak sekali perisian cetak rompak seperti permainan, program, operasi, sistem dan aplikasi menjadi pilihan

Apakah mereka peduli menikmati harta intelek melalui barang curi? Tidak. Apakah mereka berasa bersalah? Tidak. Mengapa? Kerana jualan barangan cetak rompak begitu berleluasa hingga penggunaannya tidak lagi dianggap sebagai suatu kesalahan.

Malah, penjual dan pembeli sama-sama faham keperluan masing-masing. Penjual mahu buat duit. Maaf cakap, pembeli pula mahu bergaya dengan cara menggunakan barangan tipu!

Begitu pun, pembeli masih punyai pilihan. Tidak semua barangan yang mereka gunakan itu barangan cetak rompak kerana bukannya semua pakaian, aksesori, perisian mahupun cakera padat muzik di dalam koleksi seseorang itu adalah barangan cetak rompak.

Mungkin tidak sampai separuh pun barangan peribadi mereka adalah barangan tiruan. Jika kempen kesedaran sentiasa dibarakan mengenai tidak baiknya menggunakan barangan tiruan, ia akan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada para penggunanya.

Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai barangan plagiat, ciplak, tiruan mahupun cetak rompak, ada satu lagi bentuk penipuan yang dilakukan oleh sebilangan anggota masyarakat kita semata-mata untuk bergaya. Caranya ialah dengan menipu kelulusan.

Daripada semasa ke semasa, kita akan temui si penipu kelulusan ini. Ia dilakukan oleh mereka yang gagal memperoleh kelulusan mengikut jalan yang diiktiraf dunia pendidikan.

Malangnya, ia dilakukan oleh mereka yang tinggi IQnya, tetapi rendah EQ dan SQnya. Ada yang mengaku Sarjana daripada sesebuah universiti terkenal di United Kingdom.

Padahal, dia tidak pernah menuntut di sana. Ada juga yang mengaku Profesor mahupun Doktor Falsafah yang membawa gelaran pakar daripada pelbagai institusi penyelidikan yang kita tidak pernah dengar.

Oleh kerana mereka bijak menyamar seperti orang pandai, maka mereka terpilih menyampaikan kuliah serta syarahan di pelbagai konvensyen. Kajian-kajian dan penemuan-penemuan yang entah daripada mana dikatakannya sahih.

Kita percaya dengan menghebahkan kehebatan mereka, memberi penghormatan besar kepada mereka termasuk pangkat dan darjat.

Namun, apakah bentuk penipuan yang lebih hebat daripada memplagiat, menciplak, memakai barangan tiruan, cetak rompak mahupun kelulusan palsu? Yang lebih hebat daripada itu tentulah mereka yang mempunyai pangkat dan gelaran palsu.

Kalaulah mereka mengaku berpangkat Datuk atau Tan Sri, itu boleh dianggap biasa. Tetapi, jika mengaku mempunyai darah keturunan dan kerabat Raja atau Tengku orang sebegitu memang dianggap berani ~ berani menipu hingga mati.

Mengapa manusia sanggup menipu untuk bergaya? Walaupun masing-masing boleh mempesona manusia lain dengan pelbagai bentuk penyamaran itu, apakah mereka tidak berasa apa-apa apabila bergelumang dengan alam penipuan?

Apa yang seseorang penipu itu nampak tatkala menatap wajahnya di cermin? Wajahnya atau wajah makhluk lain?-S/Harian

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...