TERKINI :

Monday, November 17, 2014

Melayu mana yang menjual agama dan bangsa seperti yang dituduh Hishamudin itu?

oleh Aspan Alias

Hishamudin Husein berkata semalam yang UMNO sedang menghadapi musuh dari segelintiran pemimpin Melayu sendiri yang sanggup menggadaikan agamanya, bangsanya serta rajanya semata-mata kerana kerakusan kuasa dikalangan segelintir pemimpin Melayu ini. Naib Presiden UMNO itu tidak pula menyebut nama-nama yang beliau maksudkan itu tetapi kenyataan ini melambangkan keresahan UMNO yang pimpinan mereka sedang berhadapan dengan permainan bayang-bayang mereka sendiri.

Bayang-bayang mereka sedang menakutkan mereka sendiri dan sekarang sedang merapek dan meroyan kerana ketakutan itu. Menuduh mana-mana pihak menggadaikan agama, bangsa dan Rajanya sendiri itu tidak sepatutnya diarahkan kepada mana-mana pihak kerana tuduhan-tuduhan Hishamudin itu sepatutnya diarahkan kepada UMNO itu sendiri, bukannya kepada pihak-pihak lain.

Biar kita berterus terang, dan mari kita bertanya kepada Hishamuddin, apa yang tidak dilakukan oleh UMNO dan pimpinan sekarang yang menafikan mereka tidak menggadaikan maruah bangsa, agamanya dan Rajanya sendiri seperti tuduhan Hishamudin terhadap pihak lain, yang beliau sahaja yang tahu siapa yang beliau maksudkan itu.

Wajar diberitahu Hishamudin yang membiarkan atau melakukan rasuah itu adalah menggadaikan agama. Apa tidaknya, kerana rasuah itu amat dibenci oleh agama, mana-mana agama sekali pun, tetapi itulah yang sedang berlaku dalam kerajaan seolah-olah tidak ada cara untuk mengawalnya lagi. Malahan inilah isunya yang telah membawa imej negara ini sebagai salah sebuah negara yang mana rasuah itu adalah berluas-luasa. Rasuah itu merupakan tindakan ‘head-on’ dengan kemahuan dan nilai agama suci Islam kita ini.


Yang ingin mengambil alih kuasa dari beliau itu mungkin ada sebabnya, tetapi usaha beliau untuk mengekalkan kedudukan walaupun beliau sudah ternyata tidak mampu untuk menyelesaikan dan membina roh kepimpinan politik beliau dan rakan-rakan beliau itu juga adalah usaha yang tidak bermoral. Mengekalkan kuasa dengan apa cara walaupun beliau sememangnya wajar berhenti itu, merupakan penggadaian moral agama sebenarnya.

Tidak mungkin beliau dan rakan beliau boleh menyalahkan pihak atau individu lain kerana rakus kuasa sedangkan beliau dan rakan-rakan dalam kabinet itu sendiri begitu rakus untuk mengekalkan kuasa walaupun dari sudut moralnya beliau berada dalam sebuah pentadbiran yang telah gagal dalam semua bidang. Jika ada pun dikalangan pimpinan Melayu yang ingin mengambil alih kepimpinan Melayu dari dipegang oleh pemimpin seperti Hishamudin, ia merupakan satu tuntutan moral yang tinggi bagi mengelak negara terjerumus ke lembah kehinaan.

Yang pentingnya negara mesti diperkemaskan dan moral pentadbiran mesti dipertingkat dan roh kepimpinan politik dan kerajaan wajar di transformasikan secepat yang mungkin. Pimpinan hari ini telah mengumumkan berbagai-bagai dasar yang tidak difikirkan dengan teliti dan hampir kesemuanya yang di umumkan itu berakhir dengan kegagalan dan tidak membawa apa-apa kebaikan, sebaliknya ketirisan dan rasuah serta salah laku pimpinan dan kerajaan tetap berlaku tanpa ada pihak yang ingin memperbaikinya.

Skandal kewangan berulang-ulang dan setiap skandal yang berlaku itu lebih besar dari apa yang berlaku sebelumnya, dan pimpinan kita sentiasa memberikan alasan dan sebab yang lemah untuk menutup skandal yang melibatkan wang rakyat itu. Rakyat telah membiarkan ia berlaku tanpa tindakan dan seolah-olah pimpinan kita telah mengambil kebaikan orang ramai itu sebagai kelemahan dan boleh dikotak-katikkan rakyat semahunya. Maka jika ada pihak dikalangan pimpinan Melayu yang berusaha untuk membetulkan keadaan maka tindakan itu tentulah tindakan yang amat perlu mendapat sokongan.

Memberikan kritikan untuk membetulkan kepimpinan hari ini tidak berupaya mengubah sikap dan nilai kepimpinan mereka, maka mengambil alih pimpinan dari mereka merupakan satu-satunya cara terakhir bagi menyelematkan negara dari terhumban ke lembah kehinaan yang mungkin tidak dapat diperbaiki lagi.

Justeru, apa yang di sebut oleh Hishamudin semalam itu mungkin kerana beliau sudah merasakan kepanasan dalam memimpin negara. Mungkin beliau sedang dalam kekeliruan bagaimana beliau telah berada di tangga kepimpinan yang tinggi, samada oleh kepimpinan beliau atau kerana budaya mengampu dan nepotisma Umno selama ini.

Sesungguhnya Hishamudin wajar meneliti kenapa keadaan kepimpinan yang beliau anggotai hari ini mendapat celaan yang terlalu hebat dari banyak pihak. Beliau wajar membuat introspeksi mendalam kenapa situasi ini wujud, kerana ‘there must be a cause for a cause’.

Beliau tidak boleh terus menuduh dan menyalahkan pihak lain jika beliau dan rakan-rakan terus ditekan untuk mengundurkan diri. Beliau begitu resah dan terpaksa menyorok dicelah ketiak Najib dan tentunya niat Najib untuk Hishamudin mengambil alih dari beliau kepimpinan negara ini mempunyai sebab yang hanya diketahui oleh beliau sendiri walaupuin orang ramai boleh juga membuat spekulasi yang agak hampir kepada kebenarannya.

Tetapi biarlah ianya berada dan berlegar di antara dua sepupu yang rapat itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...