TERKINI :

Wednesday, November 12, 2014

Malaysia di ambang defisit moral

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

http://www.reasonsforgod.org/wp-content/uploads/2011/09/morality-300x168.jpg 

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memandang serius terhadap gaya hidup umat Islam kini terutama dalam kalangan generasi muda yang sedang kuat dipengaruhi oleh unsur luar yang bercanggah dengan Islam. Gejala ini perlu dipulih segera. Kepincangan akhlak kini memberi tanda bahawa Malaysia khususnya masyarakat Islam menuju ke arah bukan sahaja defisit kewangan malah juga "defisit moral".

Malah "defisit moral" inilah yang menjadi punca kepada defisit kewangan. Amalan rasuah dan salahguna kuasa yang melibatkan pelbagai aktor seperti ahli perbankan, ahli professional, ahli politik, pembuat dasar, penguatkuasa undang-undang, anggota kehakiman serta ahli media terlibat dengan pelbagai skandal yang menyebabkan berbilion ringgit dalam perbendaharaan negara tiris dan disonglap.

Dengan "defisit moral" kami maksudkan ialah keadaan masyarakat yang melihat yang baik sebagai buruk dan sebaliknya yang buruk dilihat baik. Ia juga ditandai dengan keburukan moral (kemungkaran) lebih banyak diterjemahkan berbanding nilai kebaikan. Dengan itu penerimaan atau bersikap pasif terhadap sebarang keburukan moral dilihat sebagai suatu yang biasa. Masyarakat Islam juga kini dijangkiti sindrom "defisit moral".

Oleh sebab modal moral sangat lemah berbanding dengan mementingkan diri dan nilai kepada modal wang, maka kepincangan dalam pengurusan dan urustadbir negara menjadi lumrah.

Lalu, kini, sikap tidak peduli menjadi sikap yang dominan dalam masyarakat. Akibatnya berlakulah kerosakan akhlaq yang berleluasa, rasuah menjadi kebiasaan, jenayah dianggap sebagai suatu yang tidak dapat dielakkan, buang anak menjadi berita yang lazim, penceraian suami isteri dianggap normal, semua amalan yang korup boleh diselindungi dengan sogokan wang, pembohongan dan pemalsuan berita dianggap kebiasaan, merampas hak dan meminggir yang lemah diperkira sebagai nasib yang telah ditaqdirkan.

Ditambah pula jati diri umat terjejas dengan gejala sosial yang semakin parah seperti penagihan dadah, HIV/AIDS, pergaulan bebas, buang anak, pelacuran, bunuh diri, penceraian, arak, judi, black metal, mat rempit, pornografi, jenayah, gansterism, buli. Semua gejala ini adalah akibat dari ketiadaan program pengukuhan jati diri negara yang konsisten dan penerapan moral yang berkesan.

Kami kesal keadaan ini tidak dapat dibendung dengan sistem pendidikan formal dan tidak formal yang sedia ada serta juga tidak dapat diatasi dengan undang-undang yang digubal sejak zaman penjajahan British sehingga pelbagai Akta yang dilulus oleh Parlimen dari dahulu sehingga sekarang. Lebih menggawatkan lagi apabila penguatkuasaan undang-undang dibantah oleh kelompok sekular-liberal yang kononnya tidak mahu ”pengawasan moral” (moral policing) dilaksanakan di dalam negara ini.

Akibat rempuhan gelombang globalisasi yang sangat deras, budaya hidup umat Islam telah mengalami perubahan yang besar. Budaya global telah mengikis budaya hidup Islam dikalangan masyarakat Islam dan memutuskan akar tradisi bangsa. Pengaruh budaya hidup Barat terutama dari Amerika menjadi trend dominan dalam kalangan umat Islam.

Malangnya ada kelompok penghibur dan golongan elit yang menonjolkan dan mempromosi nilai dan gaya hidup yang sarat dengan pengaruh budaya Barat yang bercanggah sama sekali dengan Dasar Budaya Kebangsaan berteraskan budaya Islam.

Ditambah buruk lagi media massa turut menyemarakkan gaya hidup dan budaya sosial yang liberal dan tidak bermoral. Rancangan TV dan pesta serta konsert yang ditaja jutaan ringgit tidak membantu memperbaiki akhlak umat. Sebaliknya menyebabkan budaya hidup liar semakin ketara dan dianjur oleh pihak tertentu termasuk yang direstui oleh pemerintah sendiri.

Kami dengan ini mengesa Dasar Kebudayaan Kebangsaan dipertegaskan dengan memastikan segala acara sosio-budaya hendaklah diselaras dengan semangat dan warisan budaya umat Islam. Dasar ini perlulah mempunyai kekuatan undang-undang agar ia dihormati dan dipatuhi dalam sebarang acara sosial yang hendak dianjurkan.

Kawalan melalui penapisan sendiri (self-censorship) semua media massa hendaklah disemak semula kerana ternyata ia tidak berkesan untuk mengekang gejala sosial akibat pengaruh media massa yang semakin rancak menonjolkan budaya liberal Barat.

Kerajaan perlu tegas dalam usaha untuk membanteras gejala sosial melalui kuasa undang-undang di samping menyebarkan kesedaran kepada masyarakat. Ketegasan dalam meluluskan lesen pusat hiburan, judi dan arak, anjuran konsert, pertunjukkan fesyen yang melanggar nilai dan budaya Islam hendaklah diperketatkan demi memastikan gejala sosial tidak terus berleluasa.

Kami menegaskan penguatkuasaan undang-undang untuk menyekat dan membanteras gejala sosial seperti pengedaran dadah serta pusat hiburan liar sepatutnya sudah lama boleh dibenteras.

Kami kesal tidak wujudnya keselarasan antara aktiviti penerapan nilai murni dengan kelulusan sesuatu program yang bercanggah dengan nilai yang diterapkan itu. Sepatutnya semua program hendaklah saling mengukuhkan antara agensi kerajaan agar tidak bercanggah antara satu sama lain. Sebagai contoh dasar penerapan Islam oleh JAKIM tidak sepatutnya disanggah oleh Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan atas nama mengalakkan pelancongan.

Oleh sebab itu kami mengesa agar pengiklanan dalam semua media massa termasuk TV, papan iklan, poster, akhbar dan majalah perlu diperketatkan melalui peraturan undang-undang supaya penonjolan gaya wanita dalam bentuk yang lucah dan simbol seksual secara stereotaip sebagai pelaris produk atau perkhidmatan hendaklah diharamkan. Tindakan ini tidak seharusnya dibatalkan oleh agensi yang lain atas alasan hak perniagaan dan pertumbuhan ekonomi. –

Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...