TERKINI :

Friday, November 28, 2014

LGE vs Khairy, Ketua Pemuda UMNO itu benar

oleh Aspan Alias


Khairy Jamaludin merasakan kekecewaan terhadap Lim Guan Eng kerana menggelarkan beliau sebagai rasis dan menyamakan Khairy dengan Isma dan yang lain. Saya tidak nampak di mana rasisnya kenyataan Khairy itu kerana beliau bercakap tentang agenda Melayu dan keistimewaan orang Melayu sebagai yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Bagi saya, Khairy hanya mahu melangsungkan apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan jika ada pihak yang mempersoalkan isu ini ia adalah perlanggaran terhadap perlembagaan persekutuan itu secara ‘head-on’. Itulah sebabnya kadangkala saya bersetuju untuk mengekalkan ‘akta hasutan’ yang sedang hebat didebatkan sekarang ini.

Lim Guan Eng selalu beretorik tentang ‘rule of law’ dan tidak henti-henti meminta semua pihak menghormati Perlembagaan Malaysia, tetapi dalam isu ini Lim Guan Eng sudah terbawa-bawa dengan perasaan prejudis terhadap Khairy atau sesiapa yang bersama dengan pandangan dan tindakan Khairy itu.

Lim Guan Eng tidak boleh menyalahkan pihak yang berusaha untuk melakukan sesuatu yang dipandu oleh Perlembagaan Negara. Jika Guan Eng masih memanggil Khairy sebagai rasis ia bermakna LGE ini sentiasa mencari peluang untuk mengkritik dan meremehkan perjuangan partinya sendiri.

Ini bukannya masalah siapa yang benar dan yang salah di antara Setiausaha Agung DAP dan Ketua Pemuda UMNO ini, tetapi ia melambangkan dan memperlihatkan apa yang ada di dalam pemikiran dan sikap seseorang pemimpin itu. Guan Eng sepatutnya tidfak menunjukan apa yang tersirat dalam pemikiran dan sikap beliau terlalu terang yang beliau mempunyai prejudis besar apabila seseorang pemimpin Melayu yang ingin menjayakan agenda Melayu yang khas diperuntukan oleh perlembagaan itu.

Dalam isu ini saya lebih cenderung untuk menyatakan yang Guan Eng lebih rasis dari Khairy kerana membawa isu rasis walaupun itu adalah isu dalam parti UMNO yang ingin mencari penyelesaian terhadap peruntukan perlembagaan negara itu.

Jika Guan Eng tidak dapat menerima pandangan blog ini ia sesungguhnya membuktikan apa yang di persepsikan oleh orang melayu kepada pemimpin ini sebagai lebih rasis dari mereka yang rasis.

Guan Eng wajar berpijak kepada bumi yang nyata, yang negara ini ada peruntukan keistimewaan orang Melayu dan memberikan perlindungan kepada rakyat yang lain. Tetapi jika isu ini pun membuatkan beliau merasa marah, maka saya ulangi, LGE ini sememangnya ada dalam dirinya sifat prejudis yang menebal terhadap orang Melayu, kerana beliau tidak mahu pun orang Melayu membincangkan dan berusaha untuk membina bangsa Melayu itu.

Sekarang ini elok Guan Eng menerima kenyataan yang beliau lah yang sebenarnya rasis. Beliau tidak mahu melihat bangsa Melayu untuk berbincang untuk kemajuan mereka.

Guan Eng perlu diberitahu yang bukan kaumnya sahaja yang mahukan kemajuan, orang Melayu pun mahukan kemajuan. Salah benar cara orang Melayu melaksanakan agendanya itu terpulang kepada orang melayu untuk belajar, walaupun terpaksa melalui berbagai rintangan untuk mencapainya.

Guan Eng wajar melakukan introspeksi pada diri beliau sendiri dari menumpukan pandangan mencari kesalahan orang lain. Saya tidak mempunyai apa-apa perasaan benci terhadap LGE tetapi sekadar mengingatkan pemimpin yang sarat dengan publisiti ini supaya lebih matang dan berhati-hati dalam membuat kenyataan beliau.

Sebagai seorang rakyat biasa, seperti juga orang ramai yang lain, saya impikan keadaan yang damai dan harmonis dalam negara yang berbilang kaum ini. Apabila keluar kenyataan seperti ini dari pemimpin utama sebuah parti besar seperti LGE ia akan membuatkan setengah rakyat merasa curiga dengan laungan beliau selama ini, iaitu laungan ‘multiracialism’ yang tiada hentinya itu.

Dengan kenyataan beliau itu tentunya telah timbul perasaan saling tidak percaya dan mempercayai di antara rakyat berbilang kaum di negara ini. Bagi Khairy teruskanlah perjuangan agenda Melayu itu jika anda berkemampuan. Saya pun, seperti ramai yang lain menantikan apakah tindakan susulan yang beliau dan pemuda lakukan selepas ini.

Khairy perlu ingat, anda telah menerima ‘testimonial’ yang baik terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan secara 'organic' dan jelas dilihat. Yang penting bagi beliau ialah untuk membuktikan yang beliau adalah berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO di barisan tertinggi parti itu.

Bertanya kepada yang tahu, dan jangan berpijak di atas awang-awangan. Berpijaklah di atas bumi yang nyata. Jadikan alam yang terbentang luas sebagai guru. Ingat, jika UMNO itu gugur anda sendiri tidak akan kemana-mana.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...