TERKINI :

Sunday, November 2, 2014

Letih Dan Malu Jadi Pembangkang, Ehhh...Najib Mengata Siapa Ni?


Ketika berucap di majlis perasmian Konvensyen UMNO Selangor semalam, Perdana Menteri Najib Razak dilaporkan berkata, beliau letih dan malu setiap kali BN digelar sebagai pembangkang di negeri itu.

"Saya rasa sangat letih dan memalukan apabila kita dipanggil sebagai pembangkang," katanya lagi.

Tambahnya lagi, UMNO Selangor perlu menerima hakikat bahawa mereka telah kalah dua kali dalam pilihanraya umum dan perlu berani membuat perubahan bagi merampas kembali negeri itu.

Ada yang bertanya, kenapa hanya letih dan malu dengan Selangor saja sedangkan BN juga jadi pembangkang di Pulau Pinang sejak 2008 dan di Kelantan pula sejak 1990 lagi?

Berdasarkan perkembangan semasa, gerak kerja dan struktur kepimpinan UMNO Selangor sekarang ini, memang Najib berhak untuk berasa malu dan letih. Walaupun PR di Selangor pernah bergolak dengan kemelut pertukaran Menteri Besar, pimpinan parti itu dilihat beku dan kaku untuk mengambil peluang dah kesempatan.

Sebab itu, walaupun berdepan krisis dan kemelut, sebaik isu Menteri Besar berakhir, hasil kajian mendapati sokongan rakyat terus meningkat kepada PR. Berdasarkan kajian Umcedel, berbanding Mei lalu di mana sokongan rakyat didapati menjunam kepada 35 peratus, tetapi terakhir ini ia meningkat semula ke paras 43 peratus.

Atas kegagalan merebut peluang dan mengeksploitasi isu, ramai yang beranggapan bahawa selagi Noh Omar menjadi Pengerusi UMNO Selangor, selagi itulah tiada kemajuan dan lompong harapan untuk merampas kembali negeri itu daripada PR. Beliau bukan lagi pemimpin harapan masa depan, tetapi pemimpin yang sudah berlalu.

Yang lain pula berpendapat, bukan sekadar pertukaran kepimpinan harus dilakukan, bahkan UMNO Selangor juga perlu meletakkan sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru sebagai calon dalam pilihanraya akan datang dan mereka pula tidak semestinya daripada kalangan yang mengetuai UMNO di peringkat bahagian-bahagian.

Selain meletakkan beban kesalahan kepada UMNO Selangor, kekalahan dalam pilihanraya lalu juga sebenarnya adalah tanda penolakan terhadap Najib sendiri. Ini kerana dalam pilihanraya umum lalu, Najib adalah Pengerusi UMNO Selangor dan beliau sendiri menghabiskan banyak masa mahu menawan kembali negeri itu.

Berbanding pilihanraya 2008 di mana BN Selangor menang sebanyak 20 kerusi, tetapi dalam pilihanraya 2013 lalu kemenangan BN hanya tinggal 12 kerusi saja lagi. Jika ditolak dua kerusi lagi iaitu Kota Damansara dan Semenyih yang dimenangi BN kerana pertindihan calon PR, hakikatnya jumlah sebenar kemenangan BN hanyalah 10 kerusi saja.

Jika di peringkat pusat, BN ditolak oleh 52 peratus undi popular serta kekurangan tujuh kerusi berbanding 2008, di Selangor pula penolakan itu meningkat sebanyak sekali ganda lagi. Dengan komposisi pengundi bandar dan separa bandar menjadi majoriti di Selangor, itulah sebenarnya perlambangan citarasa mereka di seluruh negara tentang UMNO dan BN.

Jika kedudukan di Selangor mahu dijadikan ukuran, ia adalah tanda dan signal penolakan yang sangat jelas, bukan saja kepada UMNO dan BN tetapi lebih ketaranya ialah kepada Najib sendiri.

Najiblah yang memimpin dan mengetuai UMNO Selangor dalam pilihanraya lalu dan ditangan beliaulah parti itu menjadi pembangkang dengan keputusan yang jauh lebih merosot.

Jadi, kalau malu dan letih dengan gelaran BN sebagai pembangkang, Najib hakikatnya lebih wajar "menembak dirinya sendiri" daripada menghalakan muncung senapang kepada pihak lain.

Kiranya beliau sendiri dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri pun ditolak dengan lebih parah oleh pengundi Selangor, mengharapkan perubahan dan kejayaan oleh UMNO negeri itu tidak lebih umpama angan-angan kosong saja. Sehingga ini rakyat Selangor gembira dan selesa dengan PR dan Azmin Ali sebagai ketua kerajaan negerinya.

Najib bukan saja boleh menutup kesalahannya dengan menuding jari kepada pihak lain, bahkan boleh juga terus bermimpin dan berangan-angan untuk menjadi kerajaan di Selangor. (SH 02/11/2014)

Shahbudin Husin

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...