Pelancong mengambil kesempatan bergambar dengan pelbagai karakter kartun pada dinding di Pekan Semeling.  
Pelancong mengambil kesempatan bergambar dengan pelbagai karakter kartun pada dinding di Pekan Semeling.

ALOR SETAR - Kerajaan akan memperluaskan mural atau lukisan dinding di bangunan lama untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, kewujudannya di Semeling berjaya meningkatkan kehadiran pelancong ke situ dan ia boleh diteruskan ke seluruh negeri.

Bagaimanapun, lukisan itu perlu melambangkan ciri-ciri tempatan dalam memperkenalkan negeri jelapang padi itu kepada pelancong tempatan atau luar.

“Ia agak baru di negara kita namun mempunyai daya tarikan yang tersendiri kepada semua golongan termasuk kanak-kanak yang suka merakamkan gambar mereka.

“Apa salahnya kita cuba kaedah ini untuk tarik pelancong selain kosnya murah iaitu cat, peralatan mengecat dan tenaga kerja yang berminat untuk mengekspresikan seni lukis mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Setakat ini, kerajaan negeri mengenal pasti satu lokasi bangunan lama yang mempunyai nilai tinggi iaitu Pekan Cina dan Pekan Melayu untuk mural.

“Kawasan ini paling sesuai kerana dekat dengan bandar dan pelbagai tempat pelancongan lain seperti Masjid Zahir," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Minggu Pelancongan Kedah Tua, Tan Chee Tong menyebut 10,000 mengunjungi Pekan Semeling sempena program itu selama seminggu walaupun sebelumnya kawasan itu sepi.