TERKINI :

Monday, November 17, 2014

Kedah kawal kegiatan pembalakan, kuari pasir

gambar hiasan
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bertindak tegas dengan mengawal kegiatan pembalakan dan aktiviti kuari pasir di negeri ini, sebagai langkah memelihara serta menjaga kebersihan sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri Badrol Hisham Hashim berkata, ia sebagai langkah kerajaan untuk meningkatkan kualiti air daripada tahap tiga, pada masa sekarang kepada tahap dua.

"Sekiranya pengusaha kuari pasir dan pembalakan tidak mengikut peraturan yang kita tetapkan, ambil balak dan pasir dengan sewenang-wenangnya, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk tarik balik lesen mereka.

"Ini penting untuk kita jaga khazanah yang ada serta menjaga kualiti air sungai untuk generasi akan datang. Kita tidak mahu kualiti air pada masa akan datang tercemar sehingga tiada hidupan dalam sungai mampu hidup," katanya dalam sidang media pada Program Kebersihan Sungai Peringkat Negeri Kedah di Sungai Anak Bukit di sini hari ini.


Beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk meminimumkan pengeluaran balak bagi menjaga ekosistem yang dapat dimanfaatkan generasi akan datang.

Badrol Hisham berkata pihaknya turut meminta orang ramai melaporkan kegiatan individu atau pemilik bengkel kenderaan dan pengusaha kedai makanan yang tidak bertanggungjawab, membuang sisa buangan seperti sampah sarap dan minyak enjin ke dalam sungai.

"Saya merayu kepada pemilik premis perniagaan dan penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai untuk bersama-sama membantu kerajaan menjaga kebersihan sungai yang menjadi sumber pelancongan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata kebersihan sungai di beberapa negara seperti Eropah, China dan Korea Selatan serta sikap rakyatnya yang turut menjaga kebersihan sungai perlu dicontohi rakyat Kedah.

Katanya, penduduk yang tinggal berhampiran sungai juga akan diberikan pemahaman dan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai selain dibekalkan kemudahan tong sampah. -Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...