TERKINI :

Monday, November 10, 2014

Jangan jadi seperti ‘kacang lupakan kulit’

http://www.utusan.com.my/polopoly_fs/1.22489!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_650/image.jpg

KUBANG PASU 8 Nov. - Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu setiap rakyat negara ini tidak menjadi seperti 'kacang lupakan kulit' dan perlu bersama-sama memikirkan tentang keutuhan negara.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kedaulatan negara, perpaduan kaum dan usaha-usaha murni dalam menjadikan Malaysia makmur, aman serta bahagia.

"Saya yakin jika setiap kita menunaikan tanggungjawab masing-masing, negara ini yang kini berada di ambang negara maju akan terus kekal stabil dengan acuannya yang tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada istiadat Majlis Konvokesyen UUM ke-27 di Dewan Mu'adzam Shah, UUM Sintok di sini hari ini.

Dalam majlis itu Tunku Puteri Intan Safinaz dimasyhurkan sebagai Canselor UUM yang baharu dan istiadat pemasyhuran disempurnakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Yang turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, nilai-nilai kehidupan sosial negara ini telah digariskan oleh tokoh-tokoh negarawan terdahulu misalnya Rukun Negara.

"Kelima-lima prinsip Rukun Negara mesti dijadikan sebagai amalan supaya masyarakat negara ini dapat berdiri teguh sebagai sebuah masyarakat dunia yang mempu­nyai nilai-nilai budi bahasa, integriti dan disanjung oleh masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada para graduan di UUM me­rupakan langkah awal untuk mereka memulakan kehidupan .

"Semua perlu ingat bahawa nikmat sebenar tidak hanya diperoleh daripada pekerjaan namun kenikmatan sebenarnya diperoleh daripada kerukunan kerohanian.

"Sains yang diagungkan mestilah berpaksikan kemanusiaan, ilmu pengetahuan menjadikan kita individu yang mempunyai karakter mulia dan politik yang mendasari kehidupan sosial mestilah politik yang bertunjangkan prinsip keutuhan serta agama yang diamalkan mesti dapat meluruskan kehidupan dan mengekang daripada tuntutan nafsu hedonisme," jelasnya.

Pada majlis hari ini, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) manakala artis popular Datuk Mohd. Nasir Mohamad atau lebih dikenali sebagai M. Nasir me­nerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...