Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh  
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

KUALA LUMPUR - Nasib dua Adun Pas di Selangor yang digantung keahliannya kerana mengetepikan parti dan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor akan diketahui dalam masa terdekat.

Pemangku Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Nik Salleh berkata, surat akan dihantar kepada kedua-dua wakil rakyat itu untuk memaklumkan keputusan yang telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas selewat-lewatnya esok.

"Kita hantar surat (keputusan) kepada dia dulu (dua Adun) untuk penghormatan kepada mereka dan hantar surat keputusan kepada dua orang yang merayu.

"Surat itu akan kita hantar seboleh-bolehnya hari ini, kita akan hantar mungkin hari ini atau esok sebagai penghormatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibupejabat Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pas Pusat membuat keputusan menggantung keahlian Adun Pas Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin berkuat kuasa 12 Oktober lalu selama setahun.

Bagaimanapun kedua-duanya mempunyai ruang untuk membuat rayuan secara bertulis kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 14 hari, mengikut fasa 83 (4) (5) Perlembagaan Pas pindaan 2011.

Namun pada Isnin lalu, kedua-dua Adun Pas itu telah mengemukakan surat rayuan kepada Majlis Syura Ulama Pas untuk pertimbangan lanjut.

Mengulas lanjut, Nik Zawawi berkata lagi, keputusan yang bakal dikenakan ke atas kedua-dua Adunnya itu telah sebulat suara dipersetujui oleh kesemua ahli Majlis Syura Ulama Pas yang hadir pada mesyuarat badan itu, hari ini.

"Kita bersetuju dengan keputusan yang diambil, seorang pun tidak bercanggah, semua sebulat suara bersetuju.

"Keputusan itu apa, tengok selepas daripada ini," katanya lagi.