TERKINI :

Wednesday, November 26, 2014

Hukum kerajaan jika gagal selesai isu tanah rizab yang tinggal 12% sekarang ini..!


Hukum kerajaan jika gagal selesai isu tanah rizab



SHAH ALAM - Kerajaan perlu dihukum pada PRU14 akan datang sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah Tanah Rizab Melayu (TRM).

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman mendakwa, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak pada tahun 2009, tanah rizab Melayu kini hanya berjumlah 1,578,263.91 hektar bersamaan 11.99 peratus sahaja.

Katanya, kajian tersebut jelas menunjukkan kerajaan negeri lalai dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi.

“Penyusutan jumlah tanah rizab Melayu kepada 12 peratus adalah kesan pengabaian yang serius terhadap tanggungjawab perlembagaan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Selain itu, ia menunjukkan penyusutan ini juga menunjukkan manipulasi dihadapi oleh rakyat yang mengharapkan kerajaan menjalankan amanah selama ini, namun sebaliknya berlaku," dakwanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, melalui laporan yang dikemuka dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2013, terdapat tiga dapatan audit yang tidak memuaskan berkenaan TRM.

Antara negeri yang terlibat dalam masalah TRM termasuk Pahang, Terengganu dan Selangor.

Undang-undang Tanah Rizab Melayu mula diperkenal pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Objektif penubuhan undang-undang tersebut bertujuan untuk menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan kepada bukan Melayu dan menyekat sebarang urus niaga persendirian tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu antara Melayu dan bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Abdullah menambah, rakyat perlu hukum kerajaan sekiranya tidak ada tindakan serius daripada kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah ini.

“Jika masalah ini berlarutan, rakyat boleh membuat keputusan sama ada terus menyokong kerajaan atau tidak pada PRU14 akan datang,” tegasnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...