TERKINI :

Friday, November 7, 2014

Dr. Mujahid : penjelasan tentang fatwa Pluralisme & Liberalisme

PENJELASAN TENTANG FATWA PLURALISME DAN LIBERALISME

"Perbincangan dengam SIS dalam suasana mencari dan mendapat penjelasan isu-isu fatwa mengharamkan SIS atas alasan mengamalkan Liberalism dan Pluralism. Dato' Saifudin Abdullah sebagai moderator dan dihadiri oleh saya, MP Shah Alam, Khalid Samad dan MP Kota Raja, Dr Mariah Mahmud selain Pn Fareedah Samad drpd Amerah Pas. SIS diwakili Pn Zainah Anuar, Pn Ratna dan Dato' Paduka Marina Mahathir. Sidang media diadakan selesai muzakarah.
Kenyataan kami daripada beberapa Ahli Parlimen PAS tentang Fatwa Pluralisme dan Liberalisme bertarikh 4 November 2014 serta pertemuan kami dengan Sisters In Islam (SIS) pada 6 November 2014 telah dimanipulasi secara malafide oleh pihak-pihak tertentu termasuk daripada segelintir ahli PAS sendiri.

Ingin saya jelaskan beberapa perkara:

1. Kami tidak pernah mempertikaikan fatwa tentang sesatnya pandangan yang mengatakan semua agama adalah sama dan mengimani kepada kebenaran secara relatif.

2. Kami juga berpendapat bahawa ilmu syariat perlu dipandu dengan disiplin ilmu Islam bagi memahami tuntutan nas.

3. Persoalan kami adalah proses fatwa pengharaman yang perlu mendapat proses keadilan, ruang mempertahankan pertuduhan dan menilai faktor masa antara fatwa dan pengharaman.

4. Pertikaian PAS terhadap proses pengfatwaan dibuat bukanlah perkara baru malah Fatwa Memali dan Fatwa Amanat Haji Hadi yang difatwakan sesat senantiasa dipersoalkan tentang ketulusan dan menuntut ruang mendapat pembelaan. Mengapakah hari ini premis yang sama kami pertikaikan ke atas SIS dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu termasuk segelintir ahli PAS sendiri?

5. Saya menuntut supaya kita bersikap konsisten dalam menyatakan kebenaran tanpa mengira bulu dan hanya kerana itu kita akan dihormati kawan dan lawan.

6. Sebagaimana PAS pernah bertegas menegakkan ruang mempertahankan diri dengan membawa segala tuduhan ajaran sesat ke Mahkamah Syariah untuk mendapat hak pembelaan, mengapa kita tidak pula konsisten menyatakannya kepada SIS bahawa jika mereka sesat maka dakwalah di Mahkamah Syariah supaya kebenaran dan keadilan tertegak.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Al Maa’idah: 8)

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS

Bertarikh: 7 November 2014

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...