Laporan Sinar Harian semalam.  
Laporan Sinar Harian semalam.
IPOH - DAP Perak yakin Persatuan Ummah Sejahtera (Pasma) mampu menjadi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi pemangkin kepada kekukuhan hubungan antara komponen PR.

Setiausahanya, Wong Kah Woh berkata, keyakinan itu disuarakan ekoran perkara yang dibincangkan oleh Pasma banyak berkisar tentang penambahbaikan, hala tuju dan masa depan PR dalam mewarnai landskap politik tanah air.

“Pelbagai cadangan, usul, pendapat yang dikemukakan oleh pihak Pasma banyak menyentuh berkaitan masa depan PR selain saya percaya sekiranya perkara ini diberi perhatian serius dan diperhalusi bersama, PR akan kekal relevan serta mendapat tempat di hati rakyat,” katanya, semalam.

Menurut Kah Woh, semua pihak seharusnya menyokong Pasma kerana matlamat utama penubuhan NGO terbabit adalah untuk memastikan BN tewas pada PRU14 nanti.

“Saya hadir ke program mereka selaku panelis dan semua hujah yang dibincangkan bersama adalah bermatlamat untuk menumbangkan BN khasnya pada PRU14 nanti,” katanya.

Kah Woh berkata, kehadirannya selaku panelis dalam program itu juga sebenarnya adalah untuk menerangkan tentang kejayaan PR di Perak dalam menjalinkan pelbagai aktiviti bersama.

“Saya diminta untuk berhujah tentang hubungan erat yang dijalinkan antara DAP, PKR dan Pas di Perak dan bagi saya perkara itu baik dan boleh dijadikan contoh oleh pihak lain dalam PR,” katanya.

Mengulas tindakan Pas yang melarang ahlinya terlibat dengan Pasma, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

“Itu hak mereka dan saya rasa setiap perbezaan pendapat itu perlu dihormati dan diraikan,” katanya.