TERKINI :

Sunday, November 2, 2014

Chubadak & Kerpan, teguran kepada kerajaan

Oleh Aina Nabilah Bakhor

Setelah 57 tahun Malaysia merdeka dan ditadbir pemerintah daripada parti yang sama iaitu Umno/BN, ‘tema’ kezaliman dan rasuah sukar sekali dikikis daripada parti tua ini. Selama setengah dekad Umno/BN memerintah, jika mahu dicatatkan satu persatu siri kezaliman dan rasuah mereka, barangkali setinggi KLCC jumlahnya.

Jika rasuah dan kezaliman itu kononnya satu persepsi semata-mata, maka ia adalah persepsi yang diyakini puluhan juta rakyat.

Namun benarkan ianya persepsi dalam keadaan bukti demi bukti terdedah di hadapan mata tanpa Umno/BN berjaya membersihkannya?

Terkini perobohan rumah penduduk di Kampung Chubadak.

Selama puluhan tahun penduduk Kampung Chubadak menetap di situ.

Bahkan ada keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 1998 pemaju yang ingin memajukan kampung tersebut perlu membayar pampasan sewajarnya kerana mereka bukanlah penduduk setinggan tetapi peneroka bandar.

Malangnya bukan sekadar pampasan ditawar terlalu kecil dan tak setanding tanah dan rumah mereka yang hilang, malah proses pengambilan tanah mereka dilakukan secara kejam dan zalim.

Walaupun watak antagonis dalam drama kezaliman ini adalah pemaju dan DBKL, namun tidakkah Kerajaan Umno/BN yang mempunyai kuasa lebih besar daripada pemaju dan DBKL mampu untuk bertindak demi keadilan dan hak penduduk kampung?

Bukankah Umno melabelkan diri sebagai pejuang melayu?

Bukankah rakyat dicandu jangan mengundi parti selain Umno/BN, nanti negara tergadai kepada bangsa lain?

Bukankah penduduk Kampung Chubadak ini sebangsa dengan Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden Umno? Tidakkah Datuk Seri sedar apa yang berlaku di tanah air yang diperintah Datuk Seri?

Kemudian Datuk Seri ada hati melaungkan “Hidup Melayu!” ?

Hakikatnya ini bukanlah kezaliman yang pertama.

Penindasan terhadap rakyat bawahan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja selama kita memiliki pemerintah yang hanya menunjukkan cakna dan peduli sewaktu musim pilihan raya.

Jika tragedi penindasan Kampung Chubadak berlaku di Kuala Lumpur, di Kedah juga pernah mencatatkan tragedi air mata di Kerpan.

Apabila penduduk kampung dipaksa menjual tanah mereka tanpa kerelaan untuk projek penternakan udang yang akhirnya terbengkalai.

Penduduk kampung yang berjuang mempertahankan tanah mereka kerana tidak mahu diambil pemaju ditahan di lokap.

Penduduk kampung dihina dan ditindas demi keuntungan beberapa kerat pihak.

Inilah sejarah yang tercatat di mana tanah penduduk kampung diambil secara kejam sewaktu dalam fasa pemerintahan Umno di Kedah.

Dan mereka sehingga hari ini masih tidak malu melaungkan perjuangan Melayu mereka!

Tuntutan untuk berlaku adil bukanlah hanya kepada bangsa Melayu, yang sebangsa dengan Parti Umno yang memerintah negara ini sahaja, tetapi tuntutan berlaku adil mestilah kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.

Namun sudah pasti menjadi kepura-puraan yang nyata apabila parti yang mendakwa menjadi pejuang bangsanya, membisu seribu bahasa melihat tanah bangsanya diceroboh secara hina.

Kisah ini hanyalah juzuk kecil dari kezeluruhan juzuk kezaliman Kerajaan Umno/ BN. Kerajaan yang melaungkan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Jawapan terbaik kepada slogan ini adalah sudah-sudahlah menipu dan berpura-pura.

Rakyat punya mata telinga.

Setiap lakonan ada penamatnya.

Semoga penamat kepada lakonan kerajaan yang zalim adalah dihukum dalam pilihan raya!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...