TERKINI :

Monday, November 10, 2014

Buat mereka yang bergelar ulamak


'Tembok Zionis' yang memisahkan penduduk Kampung Chubadak dari 
memasuki kampung yang sewajarnya menjadi hak mereka.

Penulisan saya kali ini mungkin sedikit kontroversi. Namun pada saya, hal ini tetap perlu diluahkan supaya beberapa aspek khususnya kepada aktor yang terlibat dapat muhasabah dan merenung fungsi dan peranan diri mereka.

Subjek ulamak seringkali menjadi bualan masyarakat. Di samping kedudukannya yang disebut dalam hadith Baginda SAW bahawa "ulamak itu pewaris para nabi", ulamak sering mendapat perhatian kerana golongan ini dilihat mempunyai ilmu agama yang tinggi, arif soal hukum-hakam serta memahami pelbagai disiplin ilmu Islam. Terdapat juga segelintir masyarakat yang memandang ulamak itu sebagai pakej yang mampu menterjemahkan nilai dan roh Islam kepada umat sejagat. Inilah mulianya kedudukan mereka sebagai ulamak.

Namun, adakah dengan ketertinggian ilmu semata-mata mampu menggamit rasa hormat masyarakat, atau wujud unsur-unsur lain yang turut mengiringi?

Pada saya tidak cukup sekadar hadam berpuluh jilid kitab dan arif dalam ilmu haraki (bagi ulamak haraki/gerakan). Namun ulamak juga perlu dekat dengan keluh nadi rakyat, khususnya mereka yang tertindas dan memerlukan pembelaan.

Jika kita mengkaji sejarah, kita dapat lihat ulamak yang radikal dan giat dalam memperjuangkan nasib rakyat. Muhammad Abduh antara yang terlibat dalam gerakan perjuangan menentang korupsi pemerintah dan memperjuangkan reformasi pendidikan untuk rakyat Mesir, Umar Mukhtar sendiri memimpin gerakan pembebasan rakyat Libya dari cengkaman penjajah Itali, Hassan al-Banna turun ke lapangan masyarakat dan memperjuangkan kebajikan rakyat di samping menyebarkan risalah dakwah, Dr Burhanuddin al-Helmy berada di barisan hadapan memperjuangkan suara rakyat sehingga ditangkap dan ramai lagi.

Bagaimana pula dengan ulamak hari ini? Adakah mereka juga berperanan sebagai pembela rakyat, atau hanya sekadar berada di zon selesa bersama kerusi empuk dan kedudukan masing-masing?

Masyarakat khususnya anak muda saban hari mendakwa, mereka sudah tidak melihat ulamak di lapangan. Ulamak dilihat ekslusif dan hanya sibuk dengan liqo fiqri, ijtimak dan program-program dalaman yang cuba dijustifikasikan dengan tujuan membina kader. Ada juga yang hanya dilihat berada di kerusi empuk parlimen sambil diiringi dengan kesejukan penghawa dingin, namun keberadaan mereka di sana hanya seolah untuk cukup syarat dan memenuhkan kuota kerusi parlimen parti sahaja.

Kesannya, anak muda sudah hilang rasa hormat pada ulamak. Anak muda melihat ulamak hanya tahu menadah kitab, berteori malah menghukum golongan yang luar dari orbit mereka dengan pelbagai label yang kurang enak. Tetapi bila di lapangan yang memerlukan pembelaan, ulamak tidak kelihatan.

Hakikatnya, memperjuangkan kebajikan rakyat terutama yang miskin dan tertindas juga adalah suruhan agama. Jika tidak, bagaimana Rasulullah SAW sanggup memberi makan secara konsisten kepada seorang Yahudi buta yang sering memaki hamun Baginda?

Hari ini dapat dilihat kemaraan demi kemaraan kelompok kiri mesra sosialis yang lebih giat bersama rakyat, di samping keberadaan jaringan sosial lain termasuk anak muda mahasiswa. Ulamak perlu menjadi pembela rakyat tertindas. Dalam dunia yang serba laju dan penuh dengan unsur persaingan ini, ulamak harus kompeten supaya diri mereka dirasai rakyat, sekaligus memberi saham buat Islam.

Adalah sesuatu yang merisaukan bilamana rasa hormat pada ulamak mula luntur. Natijahnya, masyarakat khususnya anak muda akan hilang rasa percaya pada ulamak; bukan sahaja dari aspek komitmen mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat, malah lebih teruk, seruan dakwah Islam yang dibawa juga ditolak dan diperlekeh kerana dilihat ulamak hanya pandai berteori tanpa praktikal yang jelas. Untuk kesan jangkamasa panjang, bahaya ini akan menjurus kepada lunturnya rasa percaya masyarakat pada ulamak termasuk dalam hal-hal yang melibatkan autoriti kelimuan.

Pandangan ini mungkin dilihat agak dangkal dan terlalu fatamorgana buat masa sekarang. Namun jangan kita nafikan bahawa bibit-bibit ke arah itu sudah mula wujud. Dalam konteks dunia yang bergerak pantas hari ini, segalanya serba mungkin.

Namun tetap tidak dapat dinafikan bahawa di sana masih terdapat ulamak yang sentiasa turun ke lapangan demi bersama jerih perit rakyat. Cuma bilangannya tidak besar, dan sebahagian besar darinya hanya mula kelihatan bila dikejutkan dengan kemaraan kelompok lain yang bergerak lebih awal.

Ulamak perlu keluar dari sfera mereka yang berkopiah serta berserban dan terjun ke medan masyarakat menjadi jurubicara rakyat. Dengan ini, barulah umat Islam dan rakyat keseluruhannya dapat memahami dan menghayati konsep "Islam rahmat sekalian alam".

p/s: Jasa almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, seorang ulamak juga mantan AJK PAS Pusat yang menubuhkan Unit Amal (kini Jabatan Amal) sebagai platform kebajikan di bawah parti Islam itu harus dipuji. Sehingga kini, Jabatan Amal terbukti kerap terkehadapan dalam kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan. Sedekahkan al-fatihah buat almarhum.

SUMBER : KLIK SINI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...