TERKINI :

Friday, November 7, 2014

Anwar Tetap Ke Penjara.. jika terlepas KES LIWAT ada pula kes baru sedang menanti..!!!

Anwar Tetap Ke Penjara?

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2014/10/anwar-ibrahim-keadilan.jpg
Sesiapa pun yang mengikuti dengan teliti kes rayuan liwat Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan dari awal hingga detik-detik akhir ini, pastinya tidak dapat mengelak daripada mengakui bahawa semakin banyak keraguan telah berjaya diserlahkan.

Para peguambela Anwar yang diketuai oleh Gopal Sri Ram berjaya menimbulkan banyak persoalan serta keraguan dan para hakim pula memberi ruang yang seluas-luasnya untuk mereka menimbulkan persoalan itu demi menegakkan keadilan.

Pada peringkat awal, isu seluar dalam Saiful yang berbeza yang ditemui kesan air mani serta wajahnya yang selamba menghidangkan teh kepada tetamu Anwar walaupun mendakwa diliwat sehari sebelum itu, telah pun ditimbulkan.

Ia kemudian disusuli dengan kaitan konspirasi politik kerana Saiful juga didapati bertemu dengan pegawai tinggi polis dan Najib sebelum kejadian liwat didakwa berlaku serta turut menghubungi Musa Hassan yang ketika itu menjadi Ketua Polis Negara melalui telefon.

Isu DNA lelaki ketiga yang ditemui pada seluar dalam dan dubur Saiful juga turut dibangkitkan oleh peguam, selain penemuan empat doktor tiada penembusan pada duburnya, tiada kecederaan walaupun mendakwa diliwat secara kasar dan tanpa rela oleh Anwar.

Dengan baki pembelaan hanya tinggal sedikit waktu sahaja lagi pada petang ini iaitu selepas sembahyang Jumaat sebelum pendakwa pula berhujah dan kemudian hakim dijangka membuat keputusan, peguambela Anwar terus menimbulkan banyak keraguan lagi untuk perhatian mahkamah.

Antara yang disentuh pada Khamis ialah mengenai permaidani yang didakwa tempat berlakunya kejadian liwat itu tetapi ditemui di unit kondominium yang berbeza daripada dakwaan di mana kejadian itu berlaku.

Gopal juga membangkitkan mengenai tiada penemuan forensik kejadian liwat telah berlaku di atas permaidani itu serta tidak dibuktikan juga ianya telah dipindahkan.

Secara bergurau, Gopal berkata, beliau tidak percaya adanya "karpet terbang".

Isu DNA lelaki ketiga yang dipertahankan oleh Shafee sebelum ini kemungkinan ianya datangnya daripada tempat duduk tandas yang digunakan Saiful serta kemungkinan juga kepunyaan Dr. Osman yang merawat Saiful, turut disanggah oleh Gobind Deo dengan mengaitkannya dengan kes Hanif Basri yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh Norita Shamsudin hanya kerana penemuan air mani lelaki lain yang tidak dikenali dalam tubuhnya.

Beliau juga mengulangi mengenai penemuan awal empat orang doktor yang mendapati tiada penembusan zakar pada dubur Saiful untuk dipertimbangkan sebagai tiada bukti kejadian liwat itu telah berlaku.

Keraguan mengenai sut jenama Brioni yang tidak dibuktikan serta seluar Saiful yang ketika diperiksa tidak disahkan mempunyai jenama itu, kamera CCTV dalam lokap yang tidak berfungsi untuk mengesahkan penggunaan berus gigi, tuala dan botol air minuman serta beberapa isu yang lain oleh Anwar, turut juga dibangkitkan oleh peguam untuk mengukuhkan lagi keraguan bagi melayakkan Anwar dibebaskan.

Dengan keraguan yang semakin terserlah, secara logik dan harapan umumnya ialah peluang Anwar untuk dibebaskan cukup cerah walaupun kenderaan FRU dan bas penjara sudah pun diletakkan di sekitar Istana Kehakiman sejak awal pagi seolah-olah sudah siap untuk menghumban Ketua Pembangkang itu ke penjara.

Tetapi sama ada Anwar bebas atau tidak, tiada siapa yang tahu dan macam-macam perkara boleh berlaku pada petang nanti. Hanya Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Namun, sementara ramai merasakan Anwar semakin mempunyai hujah dan fakta kukuh untuk dibebaskan, Shafee yang dilantik sebagai pendakwaraya juga memaklumkan bahawa beliau telah diarahkan oleh Peguam Negara untuk memohon memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu selepas keputusan kes rayuan ini nanti.

Tindakan itu ialah berhubung kenyataan Anwar yang disiarkan dalam dua portal berita yang meminta Shafee kembali ke sekolah undang-undang yang dianggap sebagai menghina mahkamah.

Dengan ini, bermakna kiranya Anwar dibebaskan dalam rayuan kes liwat, satu lagi kes iaitu menghina mahkamah pula sedang menunggunya. Jika rayuan ini gagal dan Anwar menghuni penjara sekali, pastinya prosiding menghina mahkamah itu tidak akan akan diteruskan kerana tidak mempunyai makna lagi jika diteruskan pun.

Penjara nampaknya tetap dijadikan sasaran untuk memendekkan hayat perjuangan Anwar. Jika kes liwat memperuntukkan hukuman penjara dan sebat, kes menghina mahkamah pula melibatkan penjara dan denda.

Terdapat beberapa kes menghina mahkamah yang berlaku sebelum ini. Jika kita masih ingat, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali pernah didapati bersalah pada 2013 kerana menghina mahkamah dan dipenjara sehari serta denda RM20 ribu. Seorang blogger, Amizuddin Ahmat pula dipenjara tiga bulan kerana kesalahan yang sama setelah dilarang menerbitkan artikel yang memburuk-burukkan Dr Rais Yatim.

Dalam kes menghina mahkamah melibatkan Anwar, hukuman yang bakal menantinya mungkin penjara atau denda atau kedua-duanya sekali yang boleh menyebabkannya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Jika itu berlaku, bukan saja peluangnya untuk terus berjuang dalam PRU 14 nanti jadi terhalang, tetapi penjara tetap merupakan destinasi yang disasarkan kepadanya. (SH 07/11/2014)

Shahbudin Husin

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...