TERKINI :

Friday, November 28, 2014

Ambil tindakan atau tukar segera pegawai tidak amanah di Cameron Highland tuu..!!

http://4.bp.blogspot.com/-6AYk7wYGLGY/VGbaNOB4Z3I/AAAAAAABE00/NQRzk5e9maQ/s1600/image.jpg
Cerita pendatang asing tanpa izin (PATI) bukannya baharu di Cameron Highlands. Ini sudah berleluasa beberapa tahun dan tiada sesuatu tindakan dilakukan untuk mengusir PATI di sana. Cakap saja banyak tetapi keadaan makin menjadi serius. Kalau ada lakukan tindakan yang betul-betul berkesan, bagaimana boleh wujudnya ‘bangla taikun’ di sana?

Saya berani kata mereka yang diamanahkan untuk menjaga Cameron Highlands untuk rakyat Malaysia sahaja telah lalai menjalankan tugas mereka. Mereka dipenggaruh dengan kemewahan hidup yang disuap oleh PATI untuk mereka bergerak dan buat apa-apa saja dengan bebas dan berani.

Semua pegawai kerajaan daripada jawatan tertinggi hinggalah terendah di seluruh Cameron Highlands perlu ditukar dengan segera untuk menghentikan gejala rasuah yang bermaharajalela di sana. Mereka ini mengkhianati amanah yang diberi kepada mereka.

Di samping itu, mengapa kerajaan negeri amat lemah untuk mengambil tindakan? Adakah udang di sebalik batu? Adakah orang tertentu berkuasa tinggi terlibat dengan gejala rasuah di peringkat negeri. Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu tunggu aduan mana-mana pihak untuk memulakan siasatan ke atas mereka terlibat diperingkat negeri. Sesiapa pun jangan dikecualikan. Kerabat diraja pun perlu disiasat. Undang-undang tidak kenal orang biasa, ahli politik ataupun kerabat diraja. Kalau didapati bersalah, mereka perlu didakwa mengikut lunas undang-undang negara.

Malaysia sudah kalah dengan Indonesia dari segi rasuah. Mereka sudah banyak tindakan diambil untuk membasmi rasuah dan ini diiktiraf oleh kerajaan dan agensi-agensi anti-rasuah antarabangsa. Oleh kerana Indonesia sudah banyak mengurangkan gejala rasuah negara mereka dapat menarik banyak pelaburan antarabangsa dan sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat mereka. Oleh adanya pekerjaan rakyat mereka sekarang enggan berhijrah ke sini kerana keadaan di negara mereka lebih baik daripada kita.

Balik kepada Cameron Highlands, tindakan menangkap PATI di sana beberapa hari lalu, amat tidak meyakini. Ini adalah seperti batuk di tangga. Tidak sampai 200 atau 300 yang dapat ditangkap tetapi yang terlepas berpuluh ribu. Ada menteri baru-baru ini berkata, hendak mengguna aset tentera. Apa lagi? Helikopter boleh diguna mengesan PATI yang lari ke dalam hutan.

Saya kata tukarkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan yang lama bertugas di sana ke tempat lain. Lebih elok ke tempat terpencil. Mereka yang mengganti hanya dibenarkan bertugas di sana tidak lebih daripada dua tahun. Setelah dua tahun tukarkan mereka ke tempat lain tanpa apa-apa alasan atau rayuan. Kita perlu bersihkan Cameron Highlands dengan segera dan kembalikan balik tanah tinggi ini yang dulu mewah dengan pelancong dalam dan luar negeri kepada rakyat Malaysia yang sah.

Di samping itu, semua syarat-syarat pemilikan tanah di sana diperketatkan supaya tiada warga asing dibenar milik sementara atau selama-lamanya tanah di sana.

- Mohd. Ghazali Osman

Perak

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...