TERKINI :

Sunday, November 2, 2014

Alor Setar - Mangsa ceritakan detik cemas puting beliung


AZIZAN ABD. RANI menggendong anaknya, Mohd. Azril yang jatuh dalam  
AZIZAN ABD. RANI menggendong anaknya, Mohd. Azril yang jatuh dalam petak sawah padi ketika menceritakan pengalamannya dalam kejadian puting beliung kelmarin di Kampung Mergong, Alor Setar, Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 1 Nov. - Pengalaman berada di te­ngah-tengah puting beliung yang melanda beberapa kawa­san di bandar raya ini semalam ti­dak mungkin dilupakan seorang pemandu lori, Azizan Abd. Rani, 39.

Dalam kejadian itu, dia yang menggendong anaknya, Mohd. Azril Azizan, 5, ditolak pusaran angin tersebut menyebabkan kedua-dua­nya jatuh terlentang dalam bendang.

Katanya, ketika itu dia bersama beberapa jiran di Kampung Batin sedang bersembang di luar rumah sebelum ternampak pusaran angin menerbangkan bumbung salah sebuah rumah di kampung berhampiran yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

“Kampung itu terletak hanya di seberang bendang, berdepan rumah saya. Jadi memang jelas kelihatan bumbung rumah di situ berterba­ngan.

“Tidak sangka pula pusaran angin itu akan melalui rumah kami. Rakan-rakan lain sempat berpaut pada tiang rumah tetapi saya gagal berbuat demikian disebabkan me­ngendong anak sehingga menyebabkan kami dihumban ke dalam sawah,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu berlaku tidak sampai seminit namun kesannya amat besar sehingga menerbangkan bumbung beberapa rumah di situ termasuk bumbung dapur rumah yang disewanya.

“Memang sesuatu yang amat menakutkan ketika itu kerana kami berada betul-betul di tengah pusaran angin dengan masing-masing menjerit, membaca surah-surah tertentu dan azan. Seboleh mungkin, saya tidak mahu mela­luinya lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, Siti Nur Maisarah Fauzi, 12, mengakui tergamam sebaik melihat pusaran angin menerbangkan bumbung rumahnya serta jiran-jiran yang tinggal di Kampung Su­ngai Baru dekat sini.

“Hampir lima minit saya tidak mampu berkata-kata kerana terlalu terkejut. Ketika keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, saya nampak pusaran angin itu bergerak menuju ke arah Mergong,” katanya.

Jirannya, Fazilan Sulaiman, 55, pula memberitahu, ketika berehat di ruang tamu rumahnya, beliau terlihat bumbung rumahnya se­olah ditarik sebelum diterbangkan oleh angin kencang.

“Memang sangat menakutkan. Sehingga kini saya masih teringat-ingat akan kejadian itu,” ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...