Mohd Azam (kiri) ketika berucap pada program Nekad 3.0, semalam.
 
Mohd Azam (kiri) ketika berucap pada program Nekad 3.0, semalam.

MERBOK - Penulis buku ‘Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah’ perlu mendedahkan nama individu yang mengupahnya untuk menulis buku tersebut.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Kedah, Mohd Azam Abdul Samat berkata, perkara itu penting bagi membolehkan Pas mengenal pasti individu yang berniat jahat terhadapnya.

Beliau berkata, beberapa fakta penting dalam buku itu juga adalah tidak benar dan cuba memburukkan imej Pas.

“Secara peribadi, saya melihat ulasan yang dibuat dalam buku itu cuba menggambarkan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah punca kepada kekalahan Pas Kedah pada PRU13 lalu.


Sebahagian ahli dan penyokong Pas yang hadir pada program Nekad 3.0, semalam.  
Sebahagian ahli dan penyokong Pas yang hadir pada program Nekad 3.0, semalam.

“Dakwaan itu adalah berniat jahat sedangkan Allahyarham banyak melakukan pembaharuan sepanjang lima tahun mentadbir negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri program Nekad 3.0 di Madrasah Zubaidiyah, di sini, semalam.

Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian semasa pentadbiran Pas Kedah ialah pendidikan, kebajikan rakyat, tadbir urus dan pengurusan pegawai kerajaan yang baik.

“Sepanjang pemerintahan Pas di Kedah, pengamal media pada peringkat awalnya tidak memfokuskan kepada menyerang pentadbiran Pas tetapi serangan itu berlaku pada akhir-akhir sebelum PRU13.

“Sedangkan analisis yang dibuat mendapati terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kekalahan Pas di Kedah. Tetapi pihak berkenaan cuba meletakkan kekalahan itu kepada Allahyarham Azizan,” katanya.

Mengenai kemungkinan terdapat individu dalam Pas Kedah yang menjadi dalang kepada perkara itu, beliau berkata, ia hanya dapat didedahkan oleh penulis itu sendiri.

“Sebelum ini, penulis pernah memaklumkan bahawa beliau seolah-olah diupah oleh individu tertentu untuk menulis buku tersebut.

“Hanya penulis yang tahu siapa yang mengupahnya untuk berbuat demikian. Kalau dia dedah, baru kita boleh tahu siapa individu yang berniat jahat terhadap Pas,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, beberapa fakta penting berkaitan politik Kedah didakwa diseleweng dan dimuatkan dalam buku ‘Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah’.

Menurut laporan itu, Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penulis berkenaan didapati memutarbelit fakta dan urutan sejarah selain cuba menggambarkan Pas Kedah bawah kepimpinan Azizan bersikap tidak menghormati pihak lain, terutama DAP.