TERKINI :

Monday, November 10, 2014

1,800 peluru ditemui berhampiran jeti nelayan

LANGKAWI - Sebanyak 1,840 butir peluru ditemui berhampiran sebuah jeti nelayan di muara Sungai Belanga Pecah di sini semalam.    

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, peluru bersaiz 7.62 milimeter buatan Rusia itu ditemui oleh orang ramai dalam sebuah kotak hitam berhampiran muara sungai itu kira-kira pukul 1 tengah hari.
   
"Ekoran penemuan itu, sepasukan Polis telah bergegas ke lokasi dan menemui 920 butir peluru yang masih hidup terdapat di dalam kotak itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di sini hari ini.
   
Katanya hasil pemantauan seterusnya polis menjumpai 920 lagi butir peluru yang telahpun berkarat dibungkus di dalam sebuah beg plastik di kawasan berhampiran kira-kira jam 6 petang.
   
Katanya, penemuan peluru itu dipercayai ada kaitan dengan kes rampasan 16 laras senapang termasuk senapang patah yang ditanam bersama lebih 1,000 peluru daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Britain di Kampung Belanga Pecah di sini pada September lepas.
   
Katanya penemuan peluru itu akan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, yang jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
   
Harrith berkata penemuan peluru itu tidak ada kaitan dengan unsur-unsur pengganas atau militan mahupun jenayah terancang di negara ini.
   
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang perkara yang mencurigakan supaya melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...