TERKINI :

Wednesday, October 22, 2014

Terjejasnya nama negara dalam kes kegagalan ujian dadah

Oleh Badrul Hisham Shaarin

Selepas kisah pingat emas sukan asia ditarikbalik kerana kes “doping”, minggu kita dikejutkan dengan berita seorang atlet pula yang gagal dalam ujian dadah dalam kejohanan Terbuka Denmark di Conpehagen pada 1 Oktober lepas.

Walaupun kita baru sahaja dikejutkan dengan dua kes sebegini, namun sebenarnya apa yang lebih membimbangkan adalah ia menunjukkan betapa seriusnya kelemahan sukan negara ini.

Ada pandangan dan komentar yang mengatakan bahawa terdapat kemungkinan Datuk Lee Chong Wei mengambil ubat atau stimulan sukan yang mengandungi bahan terlarang untuk memastikan dirinya mempunyai stamina untuk bertanding dalam kejohanan tersebut.

Ini juga merupakan satu kemungkinan yang tidak boleh ditolak begitu sahaja. Beban dan tekanan gelaran pemain No. 1 dunia dan negara yang dipikul oleh Lee, memungkin beliau terpaksa mengambil beberapa stimulan bagi mengekalkan kecergasannya ekoran daripada faktor usia yang semakin meningkat.

Namun, kita tidak boleh meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada atlet dan pasukan kejuratihannya. Ketiadaan pelapis bertaraf dunia yang boleh menggantikan tempatnya juga perlu dilihat dengan serius.

Kegagalan polisi sukan negara untuk melahirkan pelapis bertaraf dunia akhirnya memangsakan seorang pemain senior yang juga merupakan pemain badminton No 1 dunia. Adalah sangat menyedihkan untuk seorang tokoh sukan yang banyak berjasa kepada negara terpalit dengan kes sebegini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) juga perlu melihat kepada aspek pasukan perubatan yang mengiringi sesebuah pasukan ataupun seseorang pemain itu.

Adakah panel perubatan ini memberikan nasihat berhubung kandungan ubat atau stimulan itu?

Apa yang pasti, Bajet 2015 memperuntukkan ratusan juta ringgit. Boleh dikatakan antara yang tertinggi dalam siri bajet tahunan negara.

Adalah diharapkan agar KBS, MSN dan ISN boleh bekerjasama dengan persatuan sukan untuk merangka program strategik pembangunan sukan. Pelapis bertaraf dunia perlu segera dimunculkan.

Kelemahan-kelemahan urustadbir persatuan, penyelewengan dana, ketidakmampuan persatuan untuk melaksanakan pembangunan pelapis dan sebagainya perlu mula diberikan tumpuan penuh. Menteri sukan perlu menitikberatkan perkara ini.

Jika tidak berkemampuan, tukarlah portfolio lain. Jangan bersandar pada umur dan kelayakan akademik semata-mata sebagai hujah untuk menjadi menteri belia dan sukan. Tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Negara telahpun dimalukan dengan kegagalan mencapai sasaran emas dalam temasya Komanwel dan Sukan Asia. Lebih tercemar lagi apabila pingat emas pertama negara di Sukan Asia ditarikbalik. Dan kini melarat pula ke sukan badminton.

Tidak dilupakan juga polemik mengatur keputusan perlawanan badminton yang masih belum diselesaikan lagi. Kepada menteri sukan, anda perlu mula bekerja dengan serius.

Jika tidak berminat, bertukarlah ke kementerian komunikasi dan multimedia yang mungkin boleh memenuhi minat anda untuk berlakon dan bersosial. .

* Badrul Hisham Shaarin atau lebih dikenali sebagai Chegubard merupakan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...