TERKINI :

Thursday, October 9, 2014

Piala Malaysia : Cayalah TERENGGANU... boikot aja..!!!

Terengganu nak boikot!
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


KUALA LUMPUR - Berasakan maruah mereka sedang diperlekehkan, Persatuan Bola Sepak Nege­ri Terengganu (PBSNT) bersedia mengambil keputusan drastik iaitu bertindak memboikot perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Johor Bahru jika perlawanan pada 17 Oktober ini tidak diubah kepada tarikh asal iaitu Sabtu ini.

Itu amaran yang diberikan oleh Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika rayuan yang mereka kemukakan tidak diendahkan dan masih mengekalkan apa yang diminta oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).

Berasakan mereka seperti teraniaya dengan tindakan FAM yang tidak profesional dan bersikap berat sebelah, Wan Ahmad berkata mereka sudah serik diperlakukan sedemikian dan bersedia atas segala kemungkinan yang akan menimpa sekiranya tidak beraksi pada perlawanan berkenaan.

"Saya difahamkan rayuan yang kami telah kemukakan akan dibincangkan dalam mesyuarat (Jawatankuasa Eksekutif) FAM esok (hari ini) dan jika keputusannya masih sama iaitu perlawanan bermain pada 17 Oktober, saya selaku presiden (PBSNT) tidak akan menghantar pasukan Terengganu ke Johor.

"Biarlah peminat Terengganu marahkan saya sekali pun kerana bertindak sedemikian kerana saya mahu menghukum dan memberikan satu pengajaran berguna kepada FAM memandangkan ini bukan kali pertama kami dianiaya sebegini.

"FAM kena ber­ubah...sampai bila mereka hendak bersikap sebegini dan ini bukan satu perkara yang bagus untuk bola sepak kita pada masa akan datang jika situasi sebegini berterusan.

"Perkara ini akan saya maklumkan kepada semua Exco PBSNT dan saya fikir mereka semua tiada masalah untuk menerimanya memandangkan perkara ini melibatkan maruah bola sepak Terengganu," katanya ketika dihubungi semalam.

Berda­sarkan penjelasan Wan Zaman, FAM sepatutnya bersikap lebih telus dan mendapat persetujuan daripada pihak mereka sebelum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perubahan jadual perlawanan.

"Perkara (penundaan jadual perlawanan) ini sepatutnya perlu dibuat selepas mendapatkan persetujuan kami lebih dahulu. Jika FAM hanya memenuhi permintaan mereka (JDT) sahaja, saya yakin pada masa depan, isu ini akan menjadi rujukan bagi pasukan-pasukan lain.

"Persoalannya, adakah FAM akan layan jika pasukan lain membuat permintaan sebegini dan percayalah pasti akan ada double standard berbanding pasukan JDT," dakwanya.

Sebelum ini, PBSNT turut kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam kes 'Terowong Larkin' melibatkan JDT dengan T-Team.

Kes itu menghangatkan bola sepak negara apabila bekas pemainnya Evaldo Rodrigues Goncalves dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo, kedua-duanya dari Brazil, mendakwa ditumbuk oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ) sewaktu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 1 Februari namun kes itu tergantung begitu sahaja atas alasan kes itu turut disiasat oleh pihak polis.

Percubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan ulasan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut gagal apabila beliau tidak dapat dihubungi bagi memberikan maklum balas mengenai status terkini rayuan PBSNT.

Perlawanan JDT dan Terengganu sepatutnya berlangsung Sabtu ini, ditukar ke 17 Oktober apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM bersetuju dengan alasan dikemukakan oleh JDT dalam permohonannya.

Dua alasan yang diberikan oleh JDT adalah pemainnya Hariss Harun terlibat dengan perlawanan persahabatan antarabangsa mewakili Si­ngapura bertemu Hong Kong pada 10 Oktober dan mereka sedang membaik pulih padang stadium.

Dalam masa sama, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut membidas tindakan FAM yang bersikap tidak konsisten dalam soal perubahan jadual perlawanan selain mempersoalkan layanan yang tidak adil kepada semua pasukan bertanding.

"FAM masih tidak berubah dan jadual perlawanan tidak harus diubah sewenang-wenangnya, layanan kepada semua pasukan hendaklah sama adil, malah jadual tidak boleh diubah atas kehendak satu pihak sahaja.

"Cukup-cukuplah buat benda sebegini dan sepatutnya kekalkan jadual yang sudah lama disahkan, bila hendak berubah ini?," katanya di dalam Facebook.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...