TERKINI :

Sunday, October 12, 2014

Oktoberfest : Apabila Pemimpin tunjuk contoh buruk, hipokrit

– Mohd Amin Marwan Mohamad


Bermula daripada suatu perkara yang tidak menjadi polemik pada tahun-tahun sebelum ini, acara Oktoberfest kali ini isu menarik minat ramai pihak untuk membincangkannya. Oktoberfest sebenarnya sudah disambut berdekad lamanya di Malaysia tetapi penganjurannya menjadi lebih meriah bermula 2010 apabila dua syarikat pengeluar arak, Carlsberg dan Guinness Anchor Berhad bersetuju menjadi penaja tahunan.

Kali ini, pusat membeli-belah One Utama menjadi penganjur kemuncak Oktoberfest pada 10 Oktober di Petaling Jaya, diikuti seterusnya di Jonker Walk pada 18 Oktober ini di Melaka.

Tindakan segerombolan pemimpin kanan DAP dan PKR termasuk YB Lim Kit Siang dan YB Sivarasa Rasiah yang hadir ke majlis tersebut dengan alasan “mempertahankan hak orang yang minum alkohol” merupakan suatu perkara tidak wajar. Walaupun berada di pihak oposisi, mereka tetap mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat.

Saya tidak boleh membayangkan kalaulah Pakatan Rakyat (PR) menguasai kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, sudah tentu mereka ini akan hadir ke Oktoberfest sebagai seorang menteri kanan. Amatlah jelek sekiranya keadaan ini berlaku.

Di sebelah Barisan Nasional (BN) pula, pemimpinnya iaitu Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menunjukkan sikap hipokrit tatkala melahirkan kekecewaan terhadap promosi penganjuran Oktoberfest di Selangor. Tetapi pada masa yang sama, rakan sejawatannya di Melaka pula membenarkan penganjuran Oktoberfest di tempat terbuka iaitu di Jonker Walk.

Tambah mengecewakan ialah pada hari yang sama, dianjurkan juga Majlis Cinta Rasul di Stadium Kubu tidak jauh daripada kawasan Jonker Walk.

Tindakan-tindakan di atas tidak sesekali membantu memperbaiki keadaan Malaysia yang berada di tempat ke-10 tertinggi di dunia dalam pengambilan arak. Dalam aspek kesihatan pula, pengambilan arak pada jumlah paling sedikit pun tetap tidak digalakkan kerana tiada jaminan seseorang itu bebas daripada akibat buruk pengambilan arak tersebut.

Adakah selepas ini, atas nama kebebasan, pemimpin akan membenarkan dan menyokong pula sekiranya diadakan acara atau pesta arak ini secara terbuka dengan lebih kerap serta lebih besar? Dengan alasan pesta seperti ini tidak melibatkan orang Islam dan diadakan di kawasan majoriti bukan Islam.

Pemimpin mestilah meletakkan aspek nilai sebagai keutamaan dalam melakukan apa-apa tindakan. Janganlah digalakkan rakyat melakukan sesuatu perkara merosakkan walau atas nama kebebasan. Dan janganlah pula membuat kenyataan dan tindakan secara terpilih semata-mata ingin mendapat laba politik.

Berfikir dan bertindaklah lebih untuk masa depan rakyat. Ingatlah akan ungkapan masyhur “The difference between a politician and a statesman is that a politician thinks about the next election while the statesman think about the next generation”. – 12 Oktober, 2014.

* Penulis adalah pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Pahang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...