Pengguna menunjukkan bahagian lantai yang mengalami kerosakan.  
Pengguna menunjukkan bahagian lantai yang mengalami kerosakan.

ALOR SETAR - Kebanyakan pengguna Surau Taman Merdeka, Jalan Stadium dekat sini, mendakwa tidak selesa kerana keadaan surau terlalu sempit dan daif.

Tinjauan mendapati, ruang solat dalam surau itu hanya mampu memuatkan sehingga sembilan orang jemaah saja untuk satu-satu masa.

Beratur untuk solat

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Islam kawasan Stadium Darul Aman, Fauziz Zakaria berkata, keadaan surau yang kecil sememangnya tidak mampu menampung bilangan jemaahnya.

“Surau sempit. Jadi, orang awam terpaksa beratur menunggu giliran menunaikan solat.

“Sedangkan, kawasan stadium terbabit sering menjadi lokasi tumpuan ramai untuk menyertai sesuatu karnival mahupun menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya.

Katanya, keadaan surau sedemikian menyebabkan ada jemaah tertentu bertindak menunaikan solat di luar surau terbabit meskipun ia terlalu hampir dengan tandas awam.

“Pihak kami sering mendengar rungutan pengguna surau yang tidak tahan dilanda kesulitan sedemikian. Lebih memalukan, ada pelancong luar yang menyaksikan perlawanan bola sepak melahirkan ketidakpuasan hati mereka,” katanya.

Tunggu masa roboh!

Timbalan Persatuan Peniaga Kecil Islam kawasan Stadium Darul Aman, Azam Din berkata, bukannya hanya masalah surau kecil, sebaliknya surau itu dalam keadaan kurang baik.

Katanya, surau berkenaan pastinya digenangi air terutamanya apabila hujan kerana bumbung bocor.

Menurutnya, saliran paip air di bahagian jemaah wanita dan lelaki surau itu juga adakalanya tersumbat sehingga menyulitkan lagi penggunanya.

Lebih membimbangkan, katanya, bahagian tertentu seperti alang, tingkap dan bumbung rosak dan kian mereput akibat dimakan anai-anai.

Pengguna, Othman Saad berkata, mereka bimbang bumbung surau terbabit runtuh pada bila-bila masa sahaja, lalu menghempap penggunanya.

“Jika ia dibaiki semula keadaan ini mungkin hanya bertahan seketika, malah pengguna tetap tidak selesa kerana ruangnya kekal sempit,” katanya.

Justeru, katanya, mereka memohon pihak berkenaan membina surau baru mahupun memperbesarkannya demi keselesaan.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, melalui suratnya kepada Exco Kerajaan Tempatan, Badrul Hisham Hashim memaklumkan menerima aduan mengenai kerosakan surau itu.

Katanya, beliau difahamkan surau dibina pada 1995 ini uzur dan membahayakan keselamatan jemaahnya, sekali gus mengharapkan pihak berkenaan membuat pertimbangan sewajarnya dan memberi perhatian mengenai perkara itu.