TERKINI :

Sunday, October 12, 2014

Ketika PAS pulihkan integriti, Tamrin berhasrat tinggalkan parti

OLEH THE MALAYSIAN INSIDER

Mohd Tamrin Abdul Ghafar (kanan), anak bekas timbalan perdana menteri, bersama aktivis Haris Ibrahim dan pemimpin PKR Tian Chua ketika dibebaskan mahkamah tahun lalu. Tamrin dikatakan kecewa dengan PAS yang disertainya pada 2012. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Oktober, 2014.
Tamrin dikatakan kecewa dengan PAS yang disertainya pada 2012. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Oktober, 2014.

PAS dikhabarkan bakal kehilangan ramai penyokong serta ahlinya ekoran kekecohan dalaman parti itu baru-baru ini, dan yang terbaru, Mohd Tamrin Abdul Ghafar dikatakan akan meninggalkan parti yang beliau sertai sejak dua tahun lalu itu.

Rakan-rakan rapat beliau berkata Tamrin memberitahu perkara ini beberapa kali kepada mereka.

"Bila saya tanya, betul ke dan bila, dia kata sedang cari mesin taip yang sesuai untuk menaip surat itu," kata seorang rakan rapatnya kepada The Malaysian Insider.

Usaha menghubungi Tamrin sehingga kini masih belum berjaya.

Tamrin yang menyertai PAS pada 12 Ogos 2012 lalu dikatakan sangat tidak senang dengan apa yang berlaku dalam PAS ekoran kekecohan pelantikan menteri besar Selangor yang baharu.

Bekas pengerusi Mara itu pernah berkata, beliau menyertai PAS kerana yakin ia parti alternatif yang baik kepada rakyat negara ini.

"Kalau macam ini, baik saya jadi bebas balik," kata beliau yang menolak sama sekali kembali kepada parti asalnya Umno, yang disifatkannya sudah hancur.

Minggu lepas, Tamrin ke Parlimen bertemu dengan rakan-rakan beliau dalam PAS dan Pakatan Rakyat di samping ahli Parlimen Umno.

Antara yang ditemui ialah Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Khalid Samad (Shah Alam) dan juga ahli Parlimen PKR, Tian Chua (Batu).

Mereka kemudiannya makan di kafetaria Parlimen dan dibelanja oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Ini 'farewell' (majlis perpisahan) ke?" tanya salah seorang daripada mereka kepada Tamrin. Namun, gurauan itu disambut serius oleh Tamrin dengan berkata, "entahlah".

Selepas memasuki PAS, pelbagai perkara dialami Tamrin, anak kedua bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba. Kemuncaknya adalah apabila beliau ditahan di lokap polis selepas menyertai suatu majlis memperingati peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur.

Dalam majlis itu, Tamrin mencadangkan penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu, Gerakan Anti Perkauman (GAP), bagi memantau sebarang kenyataan berbaur perkauman.

Beliau menyarankan ia dianggotai seluruh rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan keamanan.

"Kita tubuhkan NGO Gerakan Anti Perkauman dalam masa terdekat ini yang dianggotai oleh seluruh rakyat yang cintakan keamanan.

"Kita akan gerakkan dan akan libatkan peguam-peguam yang akan siasat pemimpin-pemimpin yang keluarkan kata-kata berbaur perkauman," katanya ketika berucap di Sambutan Hari Bangsa Malaysia - Selamatkan Demokrasi anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina, pada 13 Mei tahun lepas.

10 hari kemudian, pada 23 Mei, Tamrin bersama Tian Chua serta aktivis politik Haris Ibrahim, ditahan semalaman mengikut Akta Hasutan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Balai Jinjang.

Selepas Majisret menolak permohonan reman, mereka dibebaskan tetapi ditahan semula pada 28 Mei, kali ini bersama aktivis mahasiswa, Safwan Anang yang bulan lalu dijatuhkan hukuman penjara.

Keempat-empat mereka ditahan mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Kini, GAP yang dicadangkan Tamrin hampir menjadi kenyataan apabila ia dijangka dilancar secara rasmi tidak lama lagi.

Tamrin berjaya menarik Datuk Mujahid Yusof Rawa dari PAS dan Datuk Saifudin Abdullah dari Umno, serta ramai aktivis pelbagai kaum dan agama termasuk dari Sabah dan Sarawak, untuk memimpin badan pendesak itu agar hubungan kaum dipulihkan di negara ini. – 12 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sambil-pas-pulihkan-integriti-tamrin-berhasrat-tinggalkan-parti#sthash.F1k0vvwy.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...