TERKINI :

Sunday, October 12, 2014

Jangan bangga bajet besar tapi rakyat daif

KOTA BHARU: Kerajaan tidak perlu berbangga dengan perbelanjaan yang besar setiap kali diumumkan dalam bajet sekiranya rakyat masih hidup dalam kedaifan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengumuman perbelanjaan negara yang cukup besar setiap tahun sebenarnya menterjemahkan kegagalan pemimpin negara.

“Ini kerana rakyat yang berpendapatan rendah masih terpinggir serta tidak mendapat habuan dan hak mereka daripada bajet negara yang diumumkan,” ujarnya sebagai mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu ketika ditemui di Pejabat Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Katanya lagi, kecacatan Umno dan BN juga tidak ada tender dalam setiap projek pembangunan yang ingin dilaksanakan terutama di Kelantan.

Katanya, apabila tidak ada tender, harga yang sepatutnya RM10 juta akan bertambah menjadi lebih RM20 juta.

Tambahnya, ia diberi tanpa syarat kepada kroni tertentu sehingga menampakkan parti itu bukan untuk menjaga orang Melayu, sebaliknya parti untuk kroni mereka.

“Nak jaga Melayu dan rakyat lain, nak jaga kepentingan Umno lain.
“Kalau nak jaga orang Melayu apa saja projek yang ingin dilaksanakan di Kelantan contohnya, tender terlebih dahulu perlu diadakan sama ada untuk membuat jambatan atau apa saja,” ujarnya.

Katanya, dengan cara itu kerajaan dapat membayar kepada pihak tender pada harga sebenar.

Jelasnya, rakyat Kelantan masih tidak mendapat hak subsidi baja padi dengan cara yang betul sehingga kini.

Beliau berkta, ketika kerajaan Kelantan mula diambil alih pada tahun 1990 oleh Angkatan Perpaduan Ummah dahulu, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM3 juta setelah JPP tidak memberi baja kepada petani khususnya penyokong PAS.

Untuk itu, katanya kerajaan perlu memikirkan untuk mengubah tindakan itu agar tidak berulang supaya rakyat mengingati kerajaan Pusat tidak menyisihkan mereka.

Tegasnya, harta kerajaan adalah hak milik rakyat bersama dan bukannya milik peribadi pemimpin negara dan Umno. -

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...