TERKINI :

Saturday, September 20, 2014

Ulama dan ahli politik

NIK MOHAMAD ABDUH | 20 September 2014.

SEORANG ulama akan menumpukan segala usahanya untuk mencapai ketepatan hukum dan keredhaan tuhannya. Seorang ahli politik pula akan menumpukan usahanya untuk mencapai kemenangan dan kekuasaan. Itu tugas mereka.

Siasah Syar'ieyah adalah ilmu dan kaedah yang dipakai untuk mencapai kemenangan dan kekuasaan yang diimpikan oleh ahli politik di samping ia juga menepati hukum syariah yang menjadi tumpuan ijtihad para ulamak. Itu tugas ilmu ini.

Justeru seorang ahli politik muslim mestilah bergerak di atas landasan Siasah Syar'ieyah. Pada saat dia memperoleh kemenangan, dia juga akan memperolehi redha tuhannya. Malah, tanpa kemenangan pun, dia tetap menang dengan memperoleh redha Allah.

Mencapai kemenangan bukanlah kerja mudah. Mencapai ketepatan hukum juga tidak mudah. Kedua-duanya menuntut disiplin yang tinggi. Tetapi jika dibandingkan, untuk menepati ketepatan hukum ugama, ia jauh lebih sukar.

Untuk memudahkan anda faham, mari kita ambil satu kaedah barat yang masyhur iaitu 'matlamat menghalalkan cara'.

Orang politik akan gunakan apa sahaja cara demi mencapai matlamatnya menuju kekuasaan. Manakala seorang ulama akan berhenti dan memilih pakai cara yang halal dan diizinkan oleh syarak sahaja. Lihat, perbezaan ini menyebabkan ulamak akan bergerak lebih cermat dan tidak gopoh berbanding ahli politik.

Adakah dengan kes seperti di atas, maka ulama dan ahli politik akan sentiasa bertembung dan sukar bertemu? Dengan erti, adakah akan wujud jurang yang besar di antara ulamak dan ahli politik? Atau istilah yang biasa digunakan hari ini adalah pertembungan di antara golongan ulamak dan golongan profesional?

Ya, kelihatan zahirnya begitulah. Tetapi tahukah anda, ilmu Siasah Syar'ieyah sebenarnya adalah penyelesaian?

Bagaimana?

Caranya, para ulamak yang terlibat dengan dunia politik mestilah mahir ilmu ini. Begitu juga, para politikus profesional muslim juga mestilah belajar ilmu Siasah Syar'ieyah dengan lebih tekun.

Ilmu ini bertindak menyatukan ahli politik muslim yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Oleh sebab ilmu ini adalah dalam disiplin dan bidang agama, maka golongan profesional mungkin akan lebih sukar untuk menguasai ilmu ini secara cepat berbanding golongan ulamak. Mereka telah pun menguasai asas-asas awal disiplin ugama.

Tetapi tahukah anda, golongan ulamak juga akan sukar menghadam ilmu ini jika mereka gagal memenuhi syarat-syarat utamanya.

Ilmu Siasah Syar'ieyah bukanlah calang-calang. Kelihatannya mudah, hakikatnya agak sukar saat mengaplikasikannya. Bayangkan, aplikasinya adalah di medan siasah. Medan siasah itu sendiri cukup sukar dan menakutkan. Ia bukan soal hukum agama yang berkaitan kekeluargaan, nikah kahwin, pendidikan atau perniagaan. Ia soal politik. Sebut politik pun dah menyerabutkan bukan?!

Mari kita ulang, ilmu ini tujuannya memudahkan kemenangan Islam dan pelaksanaan sistemnya dalam pemerintahan dan kehidupan. Ia adalah jambatan memudahkan dua yang payah. Payah menang dan payah tepati hukum. Banyak mana kemenangan yang terhasil daripada perlanggaran terhadap hukum ugama dan meminggirkan amanah ugama sesudah kemenangan dicapai. Banyak mana juga kemenangan Islam menjadi lambat dan disia-siakan akibat berpegang pada hukum yang tidak menepati ilmu Siyasah Syar'ieyah.

Ilmu Siasah Syar'ieyah membincangkan tiga pokok utama.

Pertama, memahami sumber hukum agama yang luas. Bermula dengan ilmu al-Qur'an dan hadis sebagai rujukan utama, ilmu ini juga memahirkan kita di dalam menguasai aplikasi sumber hukum seterusnya seperti masalih mursalah, istihsan dan sebagainya.

Ia turut menuntut kemahiran dalam pelbagai ilmu kaedah pengeluaran hukum seperti usul fiqh, qawa'id fiqhiyah, maqasid syar'ieyah dan pelbagai bidang fiqhiyyaat yang rencam.

Kedua, memahami waqi' atau medan kehidupan manusia yang menjadi tempat pelaksanaan hukum.

Ilmu ini menuntut pengetahuan yang teliti tentang sunnah pembinaan masyarakat dan negara dalam jatuh bangunnya. Memahami 'trend' dan aliran semasa dalam masyarakat adalah cukup penting di dalam memastikan kejayaan politik Islam.

Ketiga, memastikan penggunaan nas dan dalil agama pada tempat dan waqi' yang betul. Menurunkan nas langit berpijak di bumi nyata sehingga ternyata keberkesanan hukum agama di dalam kehidupan.

Penerokaan terhadap pelbagai ilmu fiqhiyyat amat diperlukan di saat ini agar nas-nas yang ada terurus dengan bijak dan menyeluruh saat dipadankan dengan waqi' semasa.

Justeru sehebat mana kita berpolitik, kita terpaksa akur, demi nilai amalan yang diredhai Allah, kita perlu tunduk kepada petunjuk nas dan hukum agama yang mesti difahami sebaiknya. Begitu juga, sehebat mana ilmu agama kita, kita mesti memahami isu-isu masyarakat agar tasawwur terhadap sesuatu sebelum berhukum adalah jelas.

Justeru dalam politik Islam, kemahiran dalam fiqh politik menjadikan parti-parti politik Islam perlulah cermat, bebas daripada tarikan politik dunia dan bersedia untuk sentiasa istiqamah dengan petunjuk ugama walaupun berhadapan pelbagai cabaran.

Semakin kita mendekati sunnah, semakin kemenangan yang benar merapati kita. – HARAKAHDAILY 20/9/2014

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...