TERKINI :

Friday, September 19, 2014

PAS perlu mendominasi isu rakyat

BATU PAHAT: Mendominasi isu rakyat perlu menjadi agenda utama PAS dalam mengambil hati rakyat terutama mereka yang semakin tertekan dengan keadaan ekonomi sekarang.

Perwakilan Pahang, Andansura Rabu menekankan walaupun terdapat banyak isu membabitkan rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kemelut dalam krisis Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) namun PAS tetap gagal untuk mengetuai isu tersebut.

"Di mana PAS dalam isu membabitkan rakyat? Tidak cukup sekadar kita menghantar memorandum semata-mata kemudian diam begitu sahaja tanpa mendominasi terus isu tersebut.

"Kita perlu konsisten dan bergerak pantas dalam setiap isu kerana ia dapat memenangi hati rakyat yang memerlukan perhatian," ucap beliau ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60.

Beliau turut menggesa PAS Pusat menilai semula isu-isu rakyat dan mengkaji kesan yang telah dibuat sebelum ini serta menggariskan tindakan untuk bergerak membawa isu tersebut.

"Walaupun mereka merasakan PAS tidak mampu menyelesaikan isu tersebut kerana ia adalah masalah nasional tetapi sekurang-kurangnya mereka melihat PAS berusaha untuk menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah itu turut meminta PAS menyelesaikan krisis kedudukan jawatan Menteri Besar di Selangor dengan segera agar ia tidak berterusan.

"Krisis Selangor perlu diselesaikan dengan segera, kita tidak mahu ia berterusan begitu lama.

"Kita mahu bila selesai ia dapat menenangkan kembali keharmonian yang kita ada selama ini, jangan pula pada muktamar tahun depan kita akan berbincang perkara yang sama," sambung beliau. - HARAKAHDAILY, 19/9/2014

1 comment:

Mansor bin Junus said...

Selama ini saya nampak wakil2 rakyat PAS, melawat orang sakit terbaik. Menziarah orang mati terbaik, jadi khatib baca khutbah hebat. menghadiri rumah kenduri juga terbaik. Yang lain satu apa pun tak boleh pakai. Minta maaf.Tapi dengar cakap berapi2.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...