TERKINI :

Saturday, September 13, 2014

Pakatan perlu ubah rasa tidak selamat pengundi Melayu, kata pakar politik

OLEH LOOI SUE-CHERN


Kelemahan Pakatan Rakyat (PR) ialah gagal menangani rasa tidak selamat di kalangan pengundi majoriti masyarakat Melayu sementara lawan mereka berjaya menggunakan simbol seperti Islam, kesultanan dan hak keistimewaan Melayu untuk kekal berkuasa, kata pakar politik dalam satu forum semalam.

Dr Wong Chin Huat berkata PR perlu mengambil berat sentimen masyarakat Melayu jika mahu berjaya dalam pilihan raya umum depan.

"Seperti di Selangor, PR perlu berfikir cara membantu kaum Melayu mengikut cara berbilang kaum.

"Mereka perlu yakinkan Melayu akan mendapat faedah (dengan menyokong PR). Jika tidak mereka akan sukar dapat sokongan," katanya.

Bercakap semasa forum "Kuku Besi: Malaysia's Freedom at Stake" di Komtar, Pulau Pinang, Wong berkata sentimen kaum Melayu diacah dengan persepsi bagi menggambarkan Islam, kesultanan dan hak keistimewaan mereka terancam.

Beliau berkata kumpulan seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Perkasa membuat provokasi sentimen tersebut manakala Umno pula berlagak seperti pembela kepada isu melibatkan Islam, kesultanan dan Melayu.

"Ini mewujudkan situasi di mana tiga perkara ini adalah suci. Jika kamu sentuh mereka, kamu mengancam negara.

"Ini menyebabkan mereka mendapat sokongan kaum Melayu kepada Barisan Nasional (BN) dan pada masa yang sama mereka yang melampaui batas berdepan dengan undang-undang seperti Akta Hasutan," kata beliau.

Dr Wong berkata Akta Hasutan semakin kerap digunakan ketika ini hingga kelihatan ia seperti tiket loteri di mana sesiapa sahaja boleh menang.

"Mereka tidak mensasarkan nama besar seperti (Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng. Lim mencabar polis supaya menangkapnya susulan isu PPS (Pasukan Pengawal Sukarela) tetapi tiada tindakan.

"Mereka sasarkan pemimpin peringkat bawah dan individu secara rawak yang menyentuh isu melampaui batasan," katanya.

Dr Wong menyifatkan taktik sedemikian menyebabkan orang ramai untuk tidak berani melakukan perkara sama yang menyentuh tiga perkara tersebut.

Dr Wong juga menyokong gesaan ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Choo Choon Khai yang mahu orang ramai menyatakan sokongan membantah penggunaan Akta Hasutan mendakwa mana-mana individu.

"Idea keseluruhan adalah bagi menghalang orang ramai daripada membenci satu sama lain dan kerajaan, tetapi mengapa kita perlu undang-undang jenayah kebencian," kata beliau yang mempersoalkan adakah ancaman akan timbul jika seseorang itu membenci kerajaan.

Forum tersebut dianjurkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Pulau Pinang, Student Progressive Front of Universiti Sains Malaysia dan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH).

Sementara itu, Choo berkata akta penjajah tersebut sering digunakan kerajaan ketika berdepan dengan krisis.

Beliau mendakwa Putrajaya berada dalam dilema kerana perpecahan dalam parti, dan untuk kekal berkuasa mereka sekurang-kurangnya memerlukan pembaharuan menakjubkan.

"Tetapi sesetengah serpihan mungkin tidak suka pembaharuan ajaib ini dan sebaliknya menggunakan kaedah dan cara menekan untuk kekal berkuasa," kata Choo.

Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk Lee Khai Loon daripada PKR yang turut bercakap semasa forum tersebut juga mempertikaikan penggunaan akta tersebut walaupun selepas 57 tahun negara merdeka.

Dalam tempoh tiga minggu ini, beberapa aktivis dan pemimpin pembangkang didakwa mengikut akta sama termasuk Rafizi Ramli dan N Surendran dari PKR, Khalid Samad dari PAS dan RSN Rayer dari DAP.

Turut tidak terlepas adalah ahli akademik Prof Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang di Universiti Malaya yang juga didakwa dibawah Akta Hasutan baru-baru ini.

Terbaru semalam apabila peguam, Edmund Bon juga sedang disiasat di bawah akta sama tersebut kerana kenyataannya dalam satu artikel dengan The Malaysian Insider. – 13 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-perlu-ubah-rasa-tidak-selamat-pengundi-melayu-kata-pakar-politik#sthash.KXC3XMq8.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...