TERKINI :

Friday, September 19, 2014

Kita ada peluang pilih pemimpin setiap 2 tahun

BATU PAHAT: Ahli-ahli PAS diingatkan agar menghormati pemimpin parti yang dipilih pada muktamar lalu walaupun mungkin terdapat perbezaan pandangan antara satu sama lain.

Perwakilan dari Selangor, Sallehen Mukhyi berkata setiap perbezaan yang wujud perlu dihadapi dengan hujah yang baik, bukannya dengan kenyataan yang berbentuk penghinaan terhadap mana-mana pemimpin.

Beliau yang memandang serius perkara tersebut mengatakan selagi mana seseorang pemimpin yang dipilih perwakilan, selagi itu ia perlu dihormati sama ada setuju atau tidak.

"Kita perlu hormat pemimpin yang dipilih. Kita ada peluang untuk memilih pemimpin pada muktamar setiap dua tahun. Selagi mana mereka dalam tempoh, kita perlu hormat," tegas beliau ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-60, petang semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak itu turut mengingatkan pimpinan parti menggunakan saluran yang betul jika terdapat sebarang perbezaan pendapat di antara satu sama lain.

Mengulas kemelut yang melanda Selangor, Sallehen berkata PAS, khususnya barisan exco PAS negeri itu tetap meneruskan khidmat kepada rakyat selaras dengan arahan pimpinan tertinggi biarpun kerusi menteri besar akan berganti.

"Kita bekerja untuk kukuhkan Pakatan Rakyat. Dengan adanya empat exco, walaupun dapat sindiran daripada rakan-rakan komponen lain, tetapi yang empat inilah menjadi benteng pertahankan PR di Selangor," kata beliau.

Beliau juga berkata kerajaan negeri Selangor boleh melantik exco lain bagi menggantikan exco yang dipecat sebelum ini, bagaimanapun tidak berbuat demikian atas dasar menghormati rakan-rakan lain. - HARAKAHDAILY 19/9/2014

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...