TERKINI :

Saturday, September 13, 2014

Hadi mahu ‘muafakat’ yang selesaikan masalah, kata Suhaizan

Oleh Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat semasa wawancara khas di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 9 September. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 13 September, 2014.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu pertemuan dan muafakat yang dianjurkan bersama rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) dari DAP dan PKR mampu "menyelesaikan masalah" dan bukannya "muafakat yang tidak membuahkan hasil", kata Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Suhaizan berkata dalam pertemuan Pemuda PR bersama Hadi semalam, presiden PAS yang kini menerima tekanan dari parti komponen dan dalaman PAS turut menyatakan persetujuan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi PR bagi menyelesaikan kemelut yang berpunca daripada tindakan mahu melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor.

"Kita dapat maklum balas presiden apa masalah yang dihadapi, mengapa ambil tindakan sebegitu, tetapi kita tidak boleh dedahkan," kata Suhaizan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur semalam.

"Presiden (Hadi) tiada masalah, tetapi beliau kata hendaklah muafakat yang menyelesaikan masalah, kalau tidak, tidak guna juga," kata Suhaizan.

Hadi bertemu kepimpinan pemuda PR yang disertai Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda Sosialis Kebangsaan (Dapsy) Teo Kok Seong, bersama Suhaizan semalam di pejabatnya bagi memberikan penjelasan berhubung tindakannya baru-baru ini.

"Mesej yang kita sampaikan adalah supaya diadakan segera mesyuarat Majlis Presiden PR supaya masalah ini dapat diselesaikan segera," kata Suhaizan kepada The Malaysian Insider.

Hadi baru-baru ini dilaporkan berkata PAS tidak menamakan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baru kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu tidak berkebolehan.

Dalam sesi soal jawab dalam dialog dan penerangan isu semasa di Rusila, Marang, Terengganu, Hadi turut menegaskan Dr Wan Azizah ditolak sebagai calon menteri besar Selangor bukan disebabkan beliau wanita tetapi syarat melantik pemimpin mestilah seorang yang berkebolehan dan layak menjadi pemimpin.

Susulan kenyataan tersebut, Hadi menerima kritikan ramai pihak dari dalaman PAS dan juga PR apabila sayap Pemuda PKR mendesak supaya Hadi menarik balik kenyataan tersebut, manakala Wanita DAP juga membidas Hadi kerana enggan menyokong presiden PKR itu sebagai menteri besar Selangor.

Dari dalaman PAS sendiri, Hadi dikatakan menerima tentangan beberapa pemimpin yang menyokong tindakan PKR dan DAP menamakan hanya satu calon, bercanggah dengan permintaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan lebih dari dua nama bagi jawatan itu untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain Hadi, pemuda PR juga akan bertemu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang pada Isnin hadapan bagi menyatakan pendirian mereka yang mahu kemelut menteri besar Selangor dan pertelagahan antara kepimpinan tertinggi parti diselesaikan segera.

"Kita harap ada mesyuarat segera mungkin untuk merumuskan perkara itu selepas mesyuarat kali terakhir diadakan pada 17 Ogos lalu," kata Suhaizan, merujuk kepada mesyuarat yang memutuskan untuk menghantar hanya satu nama kepada Sultan.

"Kita generasi muda yang mahu lihat masalah ini diselesaikan segera. Kita harap majlis kepimpinan tertinggi akan selesaikan segera," katanya.

"Kita Pemuda PAS beri ruang Pemuda PKR dan Dapsy untuk bertemu presiden PAS dan sekarang mereka akan beri peluang untuk saya bertemu presiden mereka," kata Suhaizan.

Menyedari kepentingan perkara itu, Muktamar Pemuda PAS ke-55 yang akan diadakan di Kota Tinggi, Johor pada Selasa menetapkan tema "Memperkukuh Muafakat", sempena isu terkini yang melanda parti pembangkang itu.

"Tema ini diambil sempena perkembangan terkini, apabila isu berkaitan menteri besar Selangor menguji sedikit sebanyak kekuatan dalam PR dan dalaman PAS sendiri. Kita rasa parti perlu dukungan bersama dari segi muafakat ini dari PR dan PAS.

Suhaizan berkata muktamar kali ini menekan enam agenda utama, iaitu; Menjuarai isu rakyat, "engagement", berdepan pengundi Melayu muda, dakwah yang kreatif, tarbiah dan pengkaderan serta pentadbiran.

"Kita tekankan enam agenda, sejak 10 bulan lepas, apa yang kita sudah laksanakan dan apa yang kita akan laksanakan pada masa hadapan," katanya sambil menambah, pemuda PAS mahu menggagaskan politik baru anak muda dalam PR, iaitu politik budiman.

Suhaizan juga tidak menolak isu berhubung penggantian menteri besar Selangor akan dibangkitkan dalam muktamar pemuda itu.

"Saya tidak pasti isu ini akan hangat dibincangkan, namun sudah pasti akan menjadi salah satu daripada topik perbincangan."

Mengulas berkenaan isu dalaman PAS yang bertelagah berkenaan isu tersebut, beliau berkata masalah dalaman PAS seharusnya diselesaikan secara dalaman melalui saluran yang ada.

"Ini masalah dalaman parti, saya minta ia diselesaikan secara dalaman," katanya, ketika ditanya respon Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS yang mempertikaikan keputusan Hadi, dan beliau didapati melanggar Perlembagaan PAS apabila membuat keputusan sendiri memilih calon menteri besar Selangor melangkaui kuasa Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Setiausaha Luham PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus, sebelum ini berkata tidak wujud sebarang peruntukan dalam perlembagaan parti itu mengenai jawatan presiden secara bersendiri, sebaliknya termasuk dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS di bawah "Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat".

"Justeru, adalah aneh sekali apabila presiden secara tiba-tiba boleh bertindak seorang diri melangkaui kuasa Dewan Harian mahupun kuasa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menurunkan kuasa kepadanya.

"Luham berpendapat sebarang tafsiran yang membenarkan presiden bertindak hingga ke tahap yang dinyatakan tersebut adalah bercanggah dengan roh, matan dan niat Perlembagaan PAS," katanya. – 13 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hadi-mahu-muafakat-yang-selesaikan-masalah-kata-suhaizan#sthash.yhWRhOZw.dpuf

1 comment:

Anonymous said...

hadi yg bawa masalah. dia yg patut selesaikan masalah yg dia sendiri timbulkan.

adakah dia bersubahat dgn khladi utk sengaja melengahkan perlantikan mb baru supaya perjanjian air dpt dimeterai? apa yg adun pas yg 4 org tu buat? skrg rakyat Selangor terikat dgn perjanjian rm8bil.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...