TERKINI :

Saturday, September 20, 2014

BN kuat apabila pembangkang pecah

Oleh ARIF ATAN

http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/uploads/2013/04/FW278322_JB05_200413_PENAMAAN_CALON-scr.jpg
KUALA LUMPUR: Masih ada ruang dan tidak sampai tahap menang jadi arang, kalah jadi abu di sebalik pertembungan antara rakan parti dalam Pakatan Rakyat ekoran kemelut penggantian Menteri Besar Selangor, kata pensyarah Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Percaturan Umno-BN termasuk menyekat Anwar Ibrahim bertanding di Dun Kajang pada pilihan raya kecil (PRK) Mac lalu, ujarnya, dilihat berjaya sehingga mengundang jurang pandangan yang tajam antara PAS dan KeADILan pada masa ini.

Mengulas pola sokongan pengundi ke atas pihak pembangkang sejak tahun Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, beliau berkata, sejarah politik menyaksikan BN akan menang dengan kedudukan selesa apabila parti pembangkang tidak bersatu.

“Barisan Alternatif pada PRU 2004 pecah bila PAS dan DAP buat cara masingmasing selain faktor persempadanan 2003 dan imej bersih Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Dalam PRU13 pula, calon BN menang mudah di kawasan pertembungan tiga penjuru.

“Itu yang berlaku seperti di Kota Damansara tahun lepas. Bayangkan kalau ada pilihan raya di Selangor ketika Pakatan dalam keadaan sekarang, saya jangka BN boleh dengan mudah dapat dua per tiga majoriti,” jelasnya

Menurut Dr Redzuan yang juga bekas Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel), dalam sifir asas pilihan raya, menang tidak semestinya kuat sebaliknya faktor pihak lawan itu yang lemah.

“Pakatan Rakyat sedar akan kekuatan BN itu yang akan muncul bila mereka saling bertelagah tetapi dalam politik masingmasing ada perkiraan sendiri dan inilah yang memberi kesan pada keputusan pilihan raya.

“Dalam masa sama, pandangan yang minta supaya Tuan Guru Hadi Awang, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang letak jawatan untuk beri laluan kepada pimpinan lebih muda akan hanya mempercepat kemusnahan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Realiti politik di negara ini untuk tempoh beberapa kali PRU, jelasnya, mahu tidak mahu masih bersandarkan kaum yang lama disedari oleh Umno dengan menggabungkan 13 parti setiap kaum dan suku termasuk Sabah dan Sarawak dalam BN.

“Pakatan Rakyat pula gagal menggabungkan kaum-kaum ini. BN akan dominan selagi parti pembangkang tidak konsisten menggunakan payung yang sama.

“Sejak pilihan raya 1955 lagi, gabungan Umno dengan MCA dan MIC memberi banyak undi kepada Perikatan,” katanya.

Mengulas tentang persempadanan tahun 2003, Dr Redzuan berkata, nisbah lebih kurang 40:40:20 dibuat bagi memastikan komposisi Melayu, Cina dan India kerana BN mengganggap kawasan bercampur akan menyebelahi mereka seperti ‘mood’ pengundi Cina pada PRU 1999.

“Namun, pada PRU 2008, langkah itu tidak berhasil bahkan BN kalah teruk ditambah dengan persefahaman Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, KeADILan dan DAP.

“Itu sebabnya bagi saya, krisis di Selangor sekarang ini puncanya mudah iaitu Umno sama sekali tidak mahu Anwar berada dalam peta politik kerana akan mengancam status-quo BN sebagai parti pemerintah,” ujar Dr Redzuan lagi ketika ditemui di kediamannya di Sungai Ramal Luar, 11 September lalu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...