TERKINI :

Thursday, July 24, 2014

Sudah Siap Tempahan Baju Raya Anda?

Dr Harith Abdul Malek

http://gorgon0.readthisstory.net/my-7990890
TIDAK lama lagi, 1 Syawal akan bertamu. Tanpa disedari, Ramadan pun berlalu. Kini, ke mana-mana sahaja kita pergi, kemeriahan suasana hari raya boleh dirasa. Lagu raya telah mula berkemundang di corong-corong radio. Tidak ketinggalan juga iklan-iklan hari raya di televisyen.

Di pasar-pasar raya, sudah kelihatan pilihan kuih raya yang berwarna-warni. Tukang jahit dan pelanggan sudah mula risau memikirkan tempahan baju raya yang masih belum disiap dijahit.

Bagaimana pula dengan kita? Sudah siap baju yang ditempah?

Baju Raya atau Baju Taqwa?

Mari kita refleksi tentang tujuan sebenar kita ibadah puasa difardukan ke atas kita. ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 183, “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan berpuasa ke atas kamu, seperti mana yang telah diwajibkan kepada mereka yang datang sebelum kamu; semoga kamu menjadi orang yang ber-TAQWA.”

Dalam surah al-A’raaf, ayat 26, ALLAH SWT berfirman lagi, “Wahai anak keturunan Adam, sesungguhnya kami telah berikan kepada kamu pakaian yang menutup aurat dan pakaian perhiasan; dan pakaian TAQWA adalah sebaik-baik pakaian. Demikianlah sebahagian daripada ayat-ayat ALLAH, supaya kamu beringat.”


Definisi Taqwa

Taqwa berasal daripada kata akar wiqaya yang bererti memperisai dan melindungi. Dalam surah at-Tahrim, ayat 6, perkataan “Quu” yang bermaksud lindungilah juga merupakan kata terbitan daripada kata akar wiqaya. Dari sudut bahasa, taqwa boleh diertikan sebagai perisai ataupun pelindung.

Saidina Ali bin Abi Talib (karamallahu wajhah) mendefinisikan taqwa dalam salah satu khutbah beliau, “Sungguh, pada hari ini taqwa adalah pelindung dan perisai. (Tetapi) pada hari esok, ia merupakan jalan kamu ke syurga.”


Makna Taqwa bagi Kita

Definisi taqwa yang kita bincangkan di atas lebih bersifat teori dan terbuka kepada perbincangan untuk diperincikan. Menerusi perkongsian ini, kita akan cuba menggali hakikat dan makna taqwa dalam kehidupan kita sehari-hari.

Apakah taqwa itu sebenarnya? Adakah ia satu sifat keperibadian, cara fikir, atau suatu darjat kedudukan dalam agama? Persoalan ini boleh diselesaikan dengan memerhati kembali ayat 26 daripada surah al-A’raaf--taqwa itu adalah sebaik-baik “pakaian”.


Pakaian Rohani

Taqwa itu adalah pakaian rohani. Ia boleh dibayangkan sebagai satu jubah ataupun uniform halimunan yang akan kita sarungkan ke atas zat ruh kita. Jubah atau uniform ini akan memperisai anggota, lisan, dan hati kita daripada melakukan perkara-perkara dosa.

Menerusi ibadah puasa, solat malam, tilawah al-Quran, amal-amal kebaikan dan akhlak yang mulia selama sebulan di bulan Ramadan, kita menempah dan menempa jubah ini untuk kita pakai selama 11 bulan yang mendatang bermula 1 Syawal nanti.


Mesti Ikut Saiz

Setiap pakaian harus dijahit mengikut saiz tubuh tuannya. Begitu juga dengan pakaian taqwa. Saiz pakaian taqwa ini akan ditentukan berdasarkan muhasabah diri dalam menilai peranan masing-masing dan cabaran dalam kehidupan seharian. Dengan ini, akan terhasil maksud ketaqwaan yang pragmatik dan realistik.

Untuk menentukan saiz “jubah” taqwa, kita harus mulai dengan refleksi diri yang jujur dan ikhlas. Perhatikan jenis-jenis dosa yang sering terdedah kepada kita dalam menunaikan tanggungjawab hidup seharian. Mari kita perhatikan beberapa contoh.

Seorang suami atau bapa akan mengenakan jubah ini yang memeliharanya daripada berkasar dengan anak isterinya dalam tingkah laku, perkataan, ataupun perasaan. Si ibu dan isteri pula memakainya sehingga dia terhalang daripada bersikap kurang ajar dan mengabaikan kebajikan suami dan anak-anak.

Bagi yang bergelar seorang anak, jubah yang mereka sarung ke atas zat ruh mereka menjauhkan mereka daripada perbuatan-perbuatan yang boleh melukakan hati orang tua mereka. Anak-anak muda yang kerap melayari laman sosial pula akan tertahan daripada menulis fitnah nista atau perkara yang sia-sia oleh kerana pakaian mulia ini.

Golongan peniaga dan usahawan pula memakai uniform yang menahan mereka daripada menipu dan menawar rasuah dalam urusan perniagaan. Penjawat-penjawat awam pula segak dengan uniform rohani yang mencegah mereka daripada menerima rasuah dan mencuri tulang semasa bertugas.


Tingkatkan Ketaqwaan

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 13, “Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu adalah mereka yang paling ber-TAQWA. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi sangat dalam pengetahuan-Nya.”

Berdasarkan kepada prinsip yang dirakamkan oleh ALLAH SWT dalam ayat di atas, ketaqwaan itu ada tingkatannya--ia boleh dinaiktaraf dan boleh juga jatuh nilainya. Menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa memastikan pakaian taqwa kita berada dalam baik dan berusaha untuk memperelokannya dari semasa ke semasa.

Ingat, taqwa itu pakaian rohani. Maka, usaha ke arah peningkatannya juga akan lebih tertumpu kepada aspek spiritual berbanding aspek fizikal atau material.

Solat fardu dan sunat, membaca dan mengambil pengajaran daripada al-Quran, berzikir, menambah ilmu agama, dan mencontohi akhlak Nabi SAW adalah mekanisme utama dalam memperelok uniform taqwa kita.


Hakikat Taqwa

Di akhir perbincangan ini, saya berharap para pembaca akan mula membina definisi taqwa yang boleh diterjemah dalam realiti kehidupan masing-masing. Kerana, taqwa bukan semata-mata konsep, teori atau rhetorik. Ia harus memberi pengertian yang praktikal dalam kehidupan manusia.

Taqwa, hakikatnya, adalah pakaian rohani. Pakaian rohani ini yang akan memelihara ruh kita daripada dikotori dosa dan maksiat. Saiz dan rupa bentuk pakaian ini harus ditempa bersesuaian dengan cabaran hidup individu yang akan memakainya, berlandaskan panduan wahyu Ilahi.

Tanpa taqwa, kita telah membiarkan ruh kita bertelanjang. Inilah hakikat ketaqwaan.

Wallahu a’lam.


Dr Harith Abdul Malek
Pegawai Perubatan Siswazah
medicislam101@blogspot.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...