TERKINI :

Tuesday, July 1, 2014

Putrajaya Jangan mimpi universiti tempatan 100 terbaik jika macam nie punya kelaku

Jangan mimpi universiti tempatan 100 terbaik, kata kakitangan akademik UM

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) kecewa dengan tindakan Putrajaya memberikan tekanan kepada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar) sehingga beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).

Presiden PKAUM Prof Madya Dr Azmi Sharom berkata, jika benar wujudnya tekanan daripada Kementerian Pendidikan, sangat jelas kerajaan tidak mementingkan kebebasan akademik dan buat keputusan berasaskan politik.

Beliau berkata, isu ini merupakan bukti salah satu punca universiti di Malaysia sukar untuk maju kerana ada campurtangan daripada pihak politik.

"Jangan kacau kami. Kajian dan metodologi kami ikut peraturan akademik. Jangan sebab kajian kita anda (kerajaan) menghadapi masalah, itu bukan masalah kita.

"Jangan sebut sekali pun kecemerlangan akademik. Tutup mulut, diam, dan jangan nak pandai-pandai mimpi ranking universiti Top 100, tak mungkin," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kebebasan autonomi akademik merupakan asas universiti yang cemerlang dan sepatutnya bebas daripada campurtangan politik secara langsung dalam penyelidikan, namun perkara ini gagal difahami pihak kementerian.

Mengenai isu jawatan dekan Redzuan yang tidak dilanjutkan, Azmi berkata Timbalan Cancelor (VC) berkuasa penuh menentukan calon paling layak memegang jawatan dekan walaupun jumlah undi mungkin menyebelahi Redzuan.

"Tentang dekan itu kita tak tahu kenapa kerana sistem (pemilihan) dekan bukan sistem demokratik.

"Staf akademik hanya memberi cadangan siapa yang mereka suka kemudian VC yang akan pilih.

"Jadi kita tak tahu berapa banyak staf fakulti sastera yang sokong (Redzuan).

"Walaupun mungkin beliau menang undi popular tetapi keputusaan akhir ditangan VC, apa sebab kita tak tahu," katanya.

Beliau berkata, jika benar berlakunya isu Redzuan tidak dipilih walaupun mendapat undi popular, ini jelas satu lagi contoh campurtangan kerajaan.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan, Redzuan diarahkan Kementerian Pendidikan supaya meletakkan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel malah jawatan dekannya juga tidak diperbaharui.

Difahamkan, Putrajaya tidak senang dengan hasil kajian UMcedel apabila dilihat memberikan lebih banyak publisiti kepada Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lalu.

Antaranya, kajian tentang sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih besar berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa PRU13.

Hasil kajian itu terbukti benar apabila PR mendapat lebih undi popular berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 lalu.

Selain itu, Redzuan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada Februari lalu turut membentangkan hasil kajian yang dilihat pro kepada Anwar.

Cubaan The Malaysian Insider ke UM untuk berjumpa Redzuan bagaimanapun gagal apabila beliau dikatakan sibuk bermesyuarat dan enggan berjumpa dengan wartawan.

Difahamkan, hari ini merupakan hari terakhir beliau sebelum jawatan dekan diambil alih secara rasmi oleh timbalannya, Prof Dr Md Sidin Ishak bermula esok.

Majlis penyerahan tugas antara Redzuan dan Md Sidin diadakan dalam mesyuarat tertutup di pejabat pentadbiran FSSS pagi tadi.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dalam responnya terhadap nasib Redzuan turut mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Felo Penyelidik Kanan UM.

Saifuddin mengumumkan perletakan jawatan atas alasan prinsip kebebasan akademik dan solidariti terhadap Redzuan melalui akaun Twitter miliknya, hari ini.

"Kami hormati prinsip dan keputusan beliau, dan apakah kesan kepada UM? Universiti jadi malu.

"Tetapi akhirnya mereka akan tunduk kepada arahan kementerian juga," kata Azmi. – 30 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-mimpi-universiti-tempatan-100-terbaik-kata-kesatuan-kakitangan-akade#sthash.4yFxSv6d.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...