Zainal dan isterinya, Aishah Wan memerlukan sumbangan bagi membiayai kehidupan anaknya, Mohd Alif yang terlantar di atas katil selepas mengalami kemalangan jalan raya.  
Zainal dan isterinya, Aishah Wan memerlukan sumbangan bagi membiayai kehidupan anaknya, Mohd Alif yang terlantar di atas katil selepas mengalami kemalangan jalan raya.

POKOK SENA - Seorang peniaga ikan merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat membiayai perbelanjaan anaknya yang terlantar di atas katil kerana kemalangan jalan raya hingga tidak sedarkan diri sehingga hari ini.

Zainal Che Mat, 64, dari Taman Seri Gading, dekat sini, merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat membantunya membeli susu dan lampin pakai buang untuk anaknya, Mohd Alif, 17, selepas tidak sedarkan diri hampir dua bulan.

Menurutnya, selepas kemalangan anaknya itu terpaksa melakukan pembedahan di kepala bagi membuang tempurung kepala dan kini terlantar di atas katil di rumahnya.

Kemalangan itu juga menyebabkan anaknya tidak dapat meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena bagi mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Selepas kemalangan itu saya tidak dapat keluar berniaga kerana terpaksa membantu isteri bagi mengangkat anak jika mahu tukar persalinan," katanya.

Katanya, masalah itu juga menyebabkan isteri yang sebelum ini mengambil upah menjaga kanak-kanak terpaksa berhenti bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada anak.

“Pendapatan kami sekeluarga juga terputus dan terpaksa mengharapkan sumbangan bagi membiayai perubatan anak saya ini.

"Kos membeli susu untuk dua hari mencecah RM73, belum lagi lampin pakai buang yang memerlukan 10 keping sehari,” katanya.

Bagaimanapun Zainal tetap reda dengan dugaan yang diterimanya itu dan akan berusaha bagi mencari sumber pendapatan bagi membantu perbelanjaan perubatan dan minuman anaknya itu.