Tan Cheng Hoe. - Foto Sinar Harian AHMAD ZAKI OSMAN 
Tan Cheng Hoe. - Foto Sinar Harian AHMAD ZAKI OSMAN

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, tiga perlawanan ujian yang dilalui anak didiknya sepanjang bulan ini mampu menyuntik keyakinan skuad Kenari menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.

Menurut Cheng Hoe, aksi persahabatan itu dapat digunakan beliau untuk menganalisis corak pemainnya selepas berehat agak lama berikutan tiada lagi saingan kompetitif sejak berakhirnya Liga Premier, Jun lalu.

"Kita menumpaskan Sime Darby 2-1 (kelmarin) dan akan bertemu Harimau Muda malam ini. Kemudian, kita akan mengadakan perlawanan dengan Selangor di Shah Alam, Isnin ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, bekas penolong jurulatih negara ini akui Kedah berdepan cabaran sukar pada kejohanan Piala Malaysia apabila diundi bersama bekas juara, Perak, Terengganu dan wakil Borneo, Sarawak dalam Kumpulan B.

"Kita berada satu kumpuan dari pasukan Liga Super. Tapi saya percaya setiap kejohanan pasti berbeza, begitu juga dalam Piala Malaysia," katanya.

Meskipun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak meletak sebarang harapan kepada pasukan ini, namun Cheng Hoe  berkeyakinan mampu membimbing Kedah melepasi halangan peringkat kumpulan.